My Add

Thursday 12 June 2014

Polis gemuk jejas kenaikan pangkat

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
 
 
KUALA LUMPUR, RABU 11 Jun, 2014: Pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mempunyai masalah obesiti melampau akan diberi peringatan tegas dan peluang kenaikan pangkat mereka juga boleh terjejas.

Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun (gambar) berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pegawai atau anggota yang mengalami obesiti keterlaluan kerana boleh mengganggu tugasan serta mengakibatkan masalah kesihatan.

"PDRM kini mengamalkan dasar mewajibkan semua anggota dan pegawai polis berada dalam keadaan sihat dan perkara itu termasuklah membendung masalah kegemukan yang sering dipersoalkan masyarakat terhadap polis.

"Sudah tentu kami tidak menerima mereka yang mempunyai masalah obesiti yang keterlaluan. Masyarakat juga akan memandang sinis terhadap polis yang buncit ketika memakai pakaian seragam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas ruangan Bisik-bisik Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia Ahad lalu yang mengutarakan masalah obesiti dalam kalangan anggota tentera dan polis.

Kata Awang Selamat, tidak segak kalau mereka berpakaian seragam tetapi berperut boroi dan masalah itu juga berlaku dalam kalangan bos-bos polis dan tentera.

Itu susulan terdapat perdebatan di Britain tentang masalah obesiti di kalangan tentera dan polis. Kerajaan Britain nampaknya bimbang dengan masalah tersebut yang dikhuatiri menjejaskan aspek kesiapsiagaan.

Ia tercermin dengan tindakan drastik Kementerian Pertahanannya yang memecat sekurang-kurangnya 50 tentera gemuk antara 2002 hingga Mac tahun ini, selain ada yang diminta bersara.

Masalah sama juga dihadapi oleh tentera Amerika Syarikat yang separuh daripada tentera negara itu mempunyai berat badan berlebihan dan 19 peratus lagi dikategorikan gemuk.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Fuzi juga memberitahu, masalah kegemukan dalam 124,000 perjawatan PDRM tidak serius namun pihaknya sentiasa mengambil peranan untuk mengelakkan perkara itu terbiar dan menjadi parah pada kemudian hari.

"Saya tidak mempunyai data tentang masalah obesiti dalam kalangan polis tetapi saya yakin jumlah mereka tidak banyak kerana kami sentiasa memainkan peranan dan tidak bertolak ansur tentang isu ini," katanya.

Tambahnya, PDRM juga tidak menyasarkan perhatian kepada anggota polis sahaja sebaliknya terhadap pegawai-pegawai yang berjawatan tinggi juga.

"Bukan anggota bawahan sahaja tetapi pegawai atasan juga diwajibkan untuk mengambil berat tentang isu berat badan ini. Macam mana mereka mahu memimpin pasukan jika tidak cergas seperti anak buah mereka," katanya.

Mohamad Fuzi juga mencadangkan agar setiap anggota dan pegawai polis mencuri sedikit masa untuk melakukan aktiviti sukan bagi mengelakkan berlakunya sebarang masalah kesihatan.

"Sememangnya kerja sebagai polis tidak mempunyai masa yang banyak namun aktiviti sukan serta amalan kesihatan lain amat digalakkan. Ambil contoh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang sentiasa berpuasa setiap Isnin dan Khamis setiap minggu bagi menjaga tahap kesihatan dan amalannya," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment