My Add

Tuesday 10 June 2014

Politeknik tawar ijazah sarjana muda

 * ZAINI Ujang (tengah) melihat dokumen memorandum perjanjian yang ditandatangani antara Prof. Sahol Hamid Abu Bakar (kiri) dengan Dr. Adnan Alias (kanan) di Putrajaya, semalam.
PUTRAJAYA, ISNIN 09 Jun, 2014: Jabatan Pengajian Politeknik (JPP) mengorak satu lagi langkah ke hadapan apabila institusi pendidikan itu buat julung-julung kalinya akan menawarkan program ijazah sarjana muda melalui kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Ketua Setiausaha II, Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, menerusi usahasama tersebut kursus yang ditawarkan di politeknik tidak lagi terhad kepada program diploma dan sijil semata-mata.

Beliau berkata, untuk projek perintis seramai 30 pelajar akan memulakan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) di Politeknik Ungku Omar, Ipoh pada September ini.

"Tempoh pengajian program tersebut adalah selama dua tahun dan tawaran terbuka kepada para pemegang diploma politeknik atau UiTM.

"Struktur pengajian termasuk format peperiksaan adalah daripada UiTM namun tenaga pengajar terdiri dalam kalangan pensyarah JPP yang mana mereka mendapat latihan dari universiti berkenaan," katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum perjanjian antara JPP dan UiTM, di sini hari ini.

Dalam majlis itu, Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Ir. Sahol Hamid Abu Bakar hadir mewakili universiti tersebut manakala JPP diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Mohlis Jaafar.

Dalam majlis sama, JPP turut menandatangani memorandum perjanjian dengan Institut Perbankan dan Kewangan Islam (IBFIM) yang bertujuan menawarkan program Diploma Lanjutan Pengurusan Harta Islam. IBFIM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Adnan Alias.

Zaini berkata, berdasarkan perjanjian tersebut JPP dan UiTM bersetuju bekerjasama dalam tempoh lima tahun dengan kos yang telah dipersetujui bersama.

"Tujuan usahasama ini adalah bagi menyediakan latihan pendidikan formal kepada para pelajar politeknik dalam melahirkan pekerja profesional yang mampu menghadapi persaingan dunia tanpa sempadan.

"Kita berpendapat bahawa kerjasama ini sangat bermanfaat kepada negara dalam usaha memartabatkan politeknik sebagai salah satu institusi pendidikan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa khususnya dalam bidang pentadbiran perniagaan," katanya.

Dalam pada itu, Zaini berkata, setiap tahun JPP menerima hampir 120,000 permohonan dengan pengambilan sebanyak 38,000 pelajar sahaja, sekali gus memperlihatkan bahawa politeknik tidak lagi dianggap sebagai pilihan kedua dalam kalangan lepasan SPM.

Katanya, pihak kementerian dan JPP sentiasa mengambil langkah produktif dengan menambah kualiti program pengajian agar lepasan politeknik mampu mendepani persaingan pekerjaan masa kini. - UTYUSAN

No comments:

Post a Comment