My Add

Friday 6 June 2014

Prabowo, Jokowi punyai karisma tersendiri

 * PRABOWO Subianto, melambai ke arah penyokongnya semasa berkempen di Bandung, Indonesia, semalam. - REUTERS
JAKARTA, KHAMIS 05 Jun, 2014: Kaji selidik terbaru yang dibuat oleh Populi Center mendapati, calon presiden baharu yang berada di nombor urutan satu, Prabowo Subianto lebih disukai rakyat Indonesia kerana ketegasannya.

Sementara, calon presiden baharu di nombor urutan dua, Joko Widodo atau Jokowi pula disenangi masyarakat kerana peribadinya yang mesra rakyat.

Daripada 72.9 peratus responden yang ditemubual mengakui, mereka menyukai keperibadian Jokowi, manakala 62.6 peratus menyifatkan Jokowi seorang yang gemar bertemu masyarakat di akar umbi.

Sebanyak 14 peratus responden pula memilih Jokowi kerana beliau dinilai sebagai seorang tokoh yang jujur, bersih dan bebas daripada rasuah dan nepotisme.

Sementara itu, daripada 63.7 peratus responden pula mengakui, mereka sangat menggemari Prabowo dan 53.1 peratus pula menyukai beliau kerana pemimpin itu disifatkan sangat tegas.

Daripada kaji selidik yang sama, 16.8 peratus menilai Prabowo sebagai seorang pemimpin yang berwibawa dan bijaksana.

"Terlihat jelas ada perbezaan karakter yang disukai pengundi di antara Jokowi dan Prabowo," kata Pengerusi Populi Center, Nico Harjanto pada sidang akhbar di sini semalam.

Menurut Nico, sikap mesra rakyat yang dimiliki Jokowi dan ketegasan yang ada pada Prabowo samasama penting untuk membangunkan bangsa Indonesia yang lebih baik ke hadapan.

"Saya kira semua unsur ini penting. Sikap memberi keutamaan kepada rakyat itu sangat penting kerana pada masa ini keperibadian itu sangat jarang ada dalam diri penjawat awam," ujar Nico lagi.

Ketegasan pada seseorang pemimpin pula kata Nico, amat penting khususnya ketika mahu membuat sebarang dasar dan keputusan.

Kaji selidik terbaru ini dilakukan hasil temubual bersemuka di 33 wilayah di Indonesia bermula 24 hingga 29 Mei lalu melibatkan 1,500 responden yang terpilih. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment