My Add

Thursday 12 June 2014

Prestasi skuad hoki negara mengecewakan Khairy

PUTRAJAYA, RABU 11 Jun, 2014: Kegagalan skuad hoki negara merealisasikan sasaran di kedudukan ke 10 terbaik pada Kejohanan Hoki Piala Dunia 2014 di The Hague, Belanda mengundang rasa kecewa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, lebih malang lagi, skuad kendalian Muhammad Dharma Raj Abdullah itu gagal meraih sebarang mata dalam saingan peringkat Kumpulan A sekali gus berada di kedudukan tercorot dalam saingan membabitkan enam pasukan.

Bagi mengetahui punca persembahan buruk skuad negara itu, Khairy menuntut laporan penuh daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum membuat sebarang kesimpulan dan juga keputusan.

"Saya akan mendapatkan perjelasan daripada MHC terlebih dahulu mengenai kegagalan skuad negara di Piala Dunia, secara jelasnya kegagalan tersebut amat mengecewakan lebih-lebih lagi kita gagal mengutip walaupun satu mata.

"Dalam hal ini, MHC perlu memberi perjelasan adakah kerana jurulatih dan juga penglibatan pemain muda menjadi punca utama kegagalan skuad negara di Piala Dunia," katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Terdahulu Khairy mengumumkan kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menganjurkan Fiesta Samba Brasil 2014 Bagi memeriahkan Kejohanan Bola Sepak Dunia FIFA 2014.

Menurut Khairy, kegagalan skuad negara di Piala Dunia kali ini juga dikhuatiri akan menjatuhkan semangat beberapa pemain junior yang diserapkan dalam skuad senior.

"Kita tidak menyasarkan untuk memenangi kejohanan tersebut, namun ia merupakan sebahagian daripada perancangan yang berterusan untuk kejohanan yang sama pada masa hadapan termasuk sukan Olimpik.

“Saya tidak mahu membuat kesimpulan atau perbandingan mengenai cara jurulatih melatih pemain. Tidak dinafikan isu melatih pemain sesuatu yang serius namun saya perlu menunggu laporan penuh MHC sebelum membuat sebarang komen," katanya.

Sementara itu katanya, kekalahan teruk pada edisi Piala Dunia kali ini merupakan satu pengajaran besar yang perlu diperbetulkan agar Malaysia tidak lagi menjadi pasukan belasahan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment