My Add

Friday 13 June 2014

Profil DNA, kad darah sepadan

Oleh SUWARNI MOKHTAR
M
 
KUALA LUMPUR, KHAMIS 12 Jun, 2014: Profil asid deoksiribonukleik (DNA) yang diperoleh daripada satu puntung rokok yang ditemui di sebuah gerai makan terletak di pekarangan sebuah tokong Cina berpadanan dengan profil DNA seorang lelaki bernama Koong Swee Kwan.

Menurut ahli kimia dari Jabatan Kimia, Dr. Seah Lay Hong, pada 1 Ogos tahun lalu, beliau menerima enam bahan bukti daripada seorang pegawai polis, Inspektor Mohd. Nor Abdul Wahab, iaitu empat daripadanya sampul-sampul berisi puntung rokok.

Analisis lanjut ke atas puntung rokok yang ditandakan ED2, ED3, ED4 dan ED5 mendapati tiga daripadanya mempunyai profil DNA daripada tiga lelaki yang berbeza dan tidak dikenali, katanya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

"Bagi puntung rokok bertanda ED2, saya dapati ia berpadanan de-ngan profil DNA seorang lelaki bernama Wong Chee Meng. Bagi profil DNA ED3, ED4 dan ED5, tiada padanan diperoleh namun penyumbang adalah tiga lelaki berbeza. Saya tandakan setiap satu sebagai Male 1, Male 2 dan Male 3," katanya yang juga Ketua Unit Jenayah Berat, Bahagian DNA Divisyen Forensik, Jabatan Kimia.

Menurut keterangan saksi sebelum ini, Chee Meng merupakan individu yang membawa suspek utama ke itu ke tempat kejadian.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata demikian pada perbicaraan kes penarik kereta, Swee Kwan yang didakwa atas tuduhan membunuh Pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi dan cubaan membunuh isterinya, Cheong Mei Kuen.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta di Tokong Cina Kuan Yin, No. 4, Lorong Ceylon, Dang Wangi antara pukul 1.30 dan 2 petang, 29 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Yusaini Amer Abd. Karim dan T. Deepa Nair manakala tertuduh diwakili peguam bela, Zambri Idrus.

Lay Hong dalam keterangannya menyatakan, ada menerima satu sampel kad pemeriksaan darah daripada Inspektor Sin Yen Long pada 2 Oktober 2013.

Selepas membuat analisis, beliau melakukan perbandingan dengan tiga sampel yang tidak dikenal pasti dan mendapati ia (profil DNA kad pemeriksaan darah) berpadanan dengan profil DNA Male 1.

"Pada kad pemeriksaan darah itu tertulis nama Koong Swee Kwan dan sampel darah pada kad itu berpadanan dengan profil DNA ED3 atau Male 1. Kebarangkalian profil DNA itu mempunyai padanan adalah pada kadar 1 nisbah 70 quintillion (70 x 10 kuasa 18) bagi kaum Cina," tambahnya.

Pada hari pertama perbicaraan, Pegawai Perubatan dari Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr. Sue Anida Azman memberitahu mahkamah, beliau ada mengambil sampel darah daripada seorang suspek lelaki bernama Koong Swee Kwan pada 30 September 2013 dan meletakkannya pada sekeping kad pemeriksaan lengkap dengan nama suspek tersebut.

Sementara itu, saksi pendakwa ke-14, Deputi Supritendan Zuraimi Zam Zam dari Jabatan Forensik Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur berkata, pada 27 Julai 2013, beliau bersama-sama lapan anggota pasukannya membuat pemeriksaan di sebuah gerai kira-kira 10 meter daripada rumah ibadat terbabit menemukan empat puntung rokok yang masih baru.

Bahan-bahan bukti itu dimasukkan ke dalam sampul sebelum di-serahkan kepada pegawai penyiasat, Inspektor Ananthan Kumar.

Sebelum menemui puntung rokok terbabit, Zuraimi memberitahu, pasukannya menemui tujuh kelongsong peluru dan tiga serpihan anak peluru berhampiran mayat seorang lelaki yang dipercayai telah ditembak di pekarangan tempat meletak kenderaan tokong tersebut.

"Kelongsong ditemui dalam jarak antara 0.8 dan 3.5 meter manakala serpihan anak peluru ditemui di bawah mayat lelaki itu selepas jasad tersebut dialihkan. Puntung rokok pula ditemui dalam jarak 10 meter dari mayat dan enam meter dari tokong," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd. Azman Husin bersambung esok. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment