My Add

Friday 6 June 2014

Prosedur pensampelan berbeza cetus persoalan

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2015: Proses ujian asid deoksiribonukliek (DNA) terhadap sesuatu produk makanan sepatutnya dilakukan di dalam makmal khas yang diakreditasikan oleh agensiagensi seperti SIRIM Berhad mengikut piawaian antarabangsa ISO 17025.

Pensyarah Jabatan Kimia Fakulti Sains, Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Zainudin Arifin berkata, mahkamah juga hanya menerima hasil ujian DNA yang dilakukan di makmal yang mendapat akreditasi seumpama itu untuk dijadikan sebagai bahan bukti dalam sebarang kes.

Sehubungan itu, katanya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggunakan khidmat makmal di Jabatan Kimia Malaysia yang mempunyai piawaian ISO 17025 bagi melakukan ujian DNA ke atas dua jenis coklat yang menimbulkan konflik ekoran status halal iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond.

"Ujian DNA hanya boleh dilakukan di dalam makmal khas yang mempunyai bilik bersih dan udaranya ditapis bagi menghindari pencemaran selain hanya pegawai yang berkelayakan dibenarkan menjalani ujian tersebut.

"Namun bagi sampel yang tidak disimpan dengan baik atau di dalam keadaan lembab, sampel boleh dicemari oleh mikro organisme dan ini menyebabkan keputusan ujian tidak boleh dibuat dengan sempurna," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Isnin lalu, Jakim mengesahkan dua sampel coklat keluaran syarikat Cadbury yang diambil terus daripada kilang syarikat itu tidak mengandungi DNA babi dan berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengaku melakukan kesilapan berhubung pengumuman yang dibuat pada 21 Mei lalu.

Zainuddin berkata, piawaian ISO 17025 menentukan keperluan am bagi menjalankan ujian, kalibrasi dan pensampelan maka kaedah ujian memerlukan bandingan kosong dan ujian ulangan; suntikan matrik dan surogat; kawalan makmal dan bahan rujukan piawai dan perbandingan.

Bagaimanapun, katanya, Kementerian Kesihatan dilaporkan telah membuat ujian ke atas dua coklat tersebut di makmal yang belum mendapat piawaian IS0 17025 iaitu milik kementerian berkenaan.

"Terdapat perbezaan yang ketara dalam kaedah pensampelan antara Jakim dan Kementerian Kesihatan. Kaedah pensampelan yang berlainan boleh memberi hasil ujian berbeza.

"Selain itu hasil ujian perlu dibincang dan disepakati sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan kepada umum. Keputusan yang diumumkan tanpa mengambil kira pematuhan terhadap peraturanperaturan ini sepenuhnya boleh dianggap sebagai terlalu awal," katanya.

Beliau berkata, Malaysia perlu memilih satu badan yang mengeluarkan keputusan secara rasmi berhubung isu halal dan haram dengan berasaskan piawaian ISO 17025 agar Malaysia terbukti sebagai negara hab halal.

Katanya, meskipun untuk memperoleh taraf piawaian itu adalah cabaran berat, makmal uji kaji itu kelak akan diiktiraf dan berupaya memberi hasil kajian yang terbaik dan menyokong keperluan produk halal seperti yang termaktub di dalam piawai ISO 1500:2009 dan MS 2200. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment