My Add

Sunday 8 June 2014

PTPTN wajar kaji semula - Perkasa

LENGGONG, SABTU 07 Jun, 2014: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengkaji semula pemberian biasiswa kepada penerima pinjaman itu yang mendapat kelulusan cemerlang.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, hal itu kerana tujuan asal pemberian biasiswa adalah untuk membantu pelajar yang mempunyai latar belakang keluarga miskin dan memerlukan bantuan untuk menyambung pendidikan.

Katanya, apa yang dila­kukan oleh PTPTN ketika ini dilihat tidak adil kepada golongan pelajar miskin kerana pelajar yang daripada latar belakang keluarga berada juga boleh menerima bantuan biasiswa hanya dengan menca­tatkan keputusan cemerlang.

"Perlu kaji balik, saya cadangkan PTPTN fokus kepada pinjaman sahaja dan biarkan pemberian biasiswa diuruskan oleh agensi lain. Kita kena berlaku adil kepada pelajar daripada keluarga susah dan miskin.

"Pelajar daripada keluarga berada ramai yang mendapat keputusan cemerlang kerana ibu bapa mereka mampu menyediakan kemudahan pembe­lajaran yang baik, tidak wajar terima biasiswa kerana golongan ini mampu membayar pinjaman. Kembali kepada tujuan asal biasiswa iaitu membantu golongan yang benar-benar memerlukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis jamuan makan malam bersama Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah merangkap Pengerusi PTPTN dan masyarakat setempat di Dewan Felda Papulut, Lawin, dekat sini malam ini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment