My Add

Friday, 6 June 2014

Pusat Kewangan Islam Setempat dilancar

Oleh AZMAN IBRAHIM

KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan pembukaan pusat kewangan Islam setempat (IFiC) yang ditubuhkan oleh Lembaga Tabung Haji (TH).

Perdana Menteri berkata, IFiC akan menempatkan beberapa agensi dan penyedia perkhidmatan kewangan Islam di bawah satu bumbung seperti mana Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

Beliau berkata, buat permulaan, IFiC akan menempatkan operasi TH, TH Travel and Services, Bank Islam dan Takaful Malaysia.

Malah, menurut Perdana Menteri, dua lokasi IFiC setakat ini adalah di ruang tingkat bawah bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak di sini dan sebuah lagi di Menara TH di Johor.

"TH yang merupakan milik kerajaan sentiasa peka dengan inisiatif ke arah perkhidmatan yang cekap, telus dan mudah," katanya berucap pada majlis pelancaran kad Tabung Haji Debiti Mastercard, Coffee Table Book dan IFiC di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Pengerusi TH, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Paduka Ismee Ismail.

Sementara itu, Ismee menambah, pihaknya mahu membuka IFiC di seluruh negara dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi dengan terdekat dijangka dibuka di Melaka dan utara Semenanjung Malaysia.

"Pembukaan IFiC ini perlu mengikut keperluan dan permintaan semasa dan beroperasi mengikut jadual operasi cawangancawangan TH yang lain.

"IFiC dapat memberi penjimatan kos kerana ditempatkan di bawah satu bumbung dan memberi impak dalam jangka masa yang panjang," katanya.

Ketika ditanya mengenai kad TH Debiti Mastercard yang baru dilancarkan, Ismee berkata, pendeposit TH boleh memohon secara sukarela dan TH menyasarkan pengeluaran sebanyak 5,000 sehingga 10,000 kad terbabit dalam tempoh sebulan atau dua bulan ini.

Katanya, kad debit itu memudahkan urusan pendeposit untuk berbelanja di dalam dan di luar negara.

"Kita akan mengehadkan pengeluaran bagi setiap kad debit itu dan caj pengeluaran untuk mengeluarkan kad adalah RM8 sekeping. Pemilik kad debit perlu mempunyai akaun simpanan dengan TH," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment