My Add

Tuesday 10 June 2014

Rang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan

 Abdul Rahim Ramli
JOHOR BAHRU, ISNIN 09 Jun, 2014: Langkah kerajaan negeri Johor membentangkan rang undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) yang dibacakan bersama Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 selaras dengan peruntukan Akta Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan.

Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli berkata, menerusi peruntukan rang undang-undang tersebut, kerajaan negeri diketuai Menteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin tidak bertujuan menyerahkan kuasa eksekutif kepada raja.

Beliau berkata, ini bermakna Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak boleh disifatkan campur tangan dalam urus tadbir kerajaan.

"Menerusi rang undang-undang itu, penglibatan Sultan Johor dalam lembaga tersebut adalah sebagai menyemak dan mengimbang urus tadbir kerajaan negeri dan secara tidak langsung ia merupakan usaha mendaulatkan institusi raja," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Istana Besar di sini hari ini.

Abdul Rahim berkata, menerusi Fasal 2(1) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor menyatakan kuasa kerajaan negeri adalah terletak dalam tangan raja tetapi pentadbiran kerajaan negeri boleh diserahkan kepada individu atau badan-badan yang berkuasa.

Katanya, berdasarkan Fasal 7(1) pula menetapkan raja hendaklah mengikut nasihat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau nasihat Menteri Besar bagi menjalankan kewajipan menurut kuasa am majlis itu.

"Berdasarkan fasal tersebut memberi makna raja berhak meminta apa juga keterangan dan maklumat yang ada pada majlis berkenaan," katanya.

Menurutnya, semua enakmen yang berkaitan dengan penubuhan perbadanan bagi tujuan memajukan ekonomi negeri dan kepentingan rakyat adalah diperundangkan mengikut kehendak Jadual Pertama Akta Parlimen 380 Akta Perbadanan 1962 (pindaan 1989).

"Enakmen seperti Perbadanan Johor, Yayasan Pelajaran Johor dan Pentadbiran Agama Islam mempunyai beberapa peruntukan yang memberi kuasa kepada Raja termasuklah melantik ahli dan pegawai serta menetapkan imbuhan dan terma tugas.

"Enakmen tersebut melantik Menteri Besar sebagai pengerusi sesuai dengan peranannya dalam memberi nasihat kepada raja.

Peruntukan berkehendakkan perbadanan menghantar kepada raja laporan kewangan yang telah diaudit serta laporan tahunan tetapi tidak menyebut perlu mendapat persetujuan raja," katanya.

Abdul Rahim berkata, Sultan Johor sama sekali tidak akan campur tangan dalam mengurus tadbir lembaga tersebut, sebaliknya hanya akan dimaklumkan oleh kerajaan negeri tentang keperluan membina rumah mampu milik, demi kepentingan rakyat negeri ini.

"Baginda ialah seorang yang berwibawa, mendengar nasihat, arif dengan peruntukan undang-undang dan peraturan serta had kuasa dimiliki.

"Oleh itu kami yakin baginda tidak akan campur tangan dalam urus tadbir kerajaan negeri khususnya LPHJ," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment