My Add

Saturday 7 June 2014

Rang Undang-undang untuk jaga tanah milik Melayu

KUALA LUMPUR, JUMAAT 06 Jun, 2014: Pergerakan Pemuda UMNO Johor menyifatkan Rang Undang-undang bagi menubuhkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) bertujuan mengawal hartanah negeri itu daripada terus dimiliki oleh lebih ramai warga asing.

Naib Ketuanya, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, rang undang-undang baharu itu yang akan dibentang dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Isnin ini juga mempunyai kuasa untuk membeli kembali tanah orang Melayu yang telah menjadi milikan asing.

Sehubungan itu katanya, rang undang-undang itu jika diluluskan, akan dapat mengekang para pemaju asing yang selama ini bergerak bersama kroni untuk mengeksploitasi tanah di negeri tersebut.

"Kita jangan mudah masuk perangkap parti pembangkang yang sebenarnya takut kroni-kroni mereka iaitu para pemaju yang selama ini sewenang-wenangnya mengeksploitasi tanah-tanah di negeri Johor.

"Sebenarnya matlamat utama penubuhan lembaga itu adalah baik iaitu mengawal kebanjiran warga asing dalam pemilikan tanah dan meminta pemaju hartanah supaya berikrar untuk turut membina kediaman mampu milik," katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kluang mengulas persoalan yang timbul berhubung rang undang-undang itu yang dikatakan memberi kuasa kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk terlibat secara langsung dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan persoalan yang timbul serta kewajaran rang undang-undang tersebut yang akan memecah tradisi peranan sultan di negara ini kerana dikatakan bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

Difahamkan, rang undang-undang berkenaan turut memperuntukkan enakmen yang akan membolehkan baginda mempunyai kuasa membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu, menentukan jumlah elaun dan saraan mereka serta berhak melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif LPHJ.

Khairul Anwar berkata, Sultan Johor akan bertindak berdasarkan batas Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Johor serta nasihat Menteri Besar, justeru andaian bahawa baginda mempunyai kuasa mutlak tidak tepat.

Di samping itu katanya, perkara berkenaan bukannya benda baharu kerana Enakmen Penubuhan Kemajuan Negeri Johor turut mempraktikkan konsep sama namun tidak pernah dipertikaikan selama ini.

"Bagaimanapun Pemuda UMNO amat memahami keresahan rakyat berhubung isu ini, justeru kita akan bersama-sama kerajaan negeri akan mencari mekanisme terbaik untuk menjelaskan kepada mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment