My Add

Friday 6 June 2014

RM10,000 bantu mangsa banjir di Bosnia

 * MOHD. Ali Rustam (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan mangsa banjir rakyat Bosnia sebanyak RM10,000 kepada Tarik Bukvic di Pejabat Kedutaan Bosnia Herzegovina di Kuala Lumpur, barubaru ini.
MELAKA, KHAMIS 05 Jun, 2014: Bagi meringankan beban penduduk di Bosnia yang dilanda bencana banjir terbesar yang diibaratkan seperti tragedi gempa bumi dan tsunami pertengahan Mei lalu, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) tampil menghulur sumbangan RM10,000.

Sumbangan tersebut diserahkan Presiden DMDI, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam kepada Duta Besar Bosnia dan Herzegovina ke Malaysia, Tarik Bukvic di Kuala Lumpur barubaru ini.

Pengurus Besar DMDI, Mohd. Nizam Omar berkata, sumbangan itu diperoleh daripada 18 negara anggota DMDI melalui Tabung Bantuan Bencana Banjir DMDI Bosnia dan Herzegovina yang dilancarkan sebelum ini.

Menurutnya, sumbangan tersebut diberi sebagai tanda prihatin DMDI terhadap penduduk di negara berkenaan ekoran banjir besar yang meragut banyak nyawa selain menjejaskan kehidupan kirakira 1.5 juta penduduk.

"DMDI sedih dengan bencana yang berlaku di negara itu yang turut mengakibatkan kemusnahan teruk dan dianggarkan kerugian akibat bencana tersebut berjumlah RM3.23 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yang turut hadir pada majlis tersebut Naib Pengerusi DMDI, Prof. Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin.

Mohd. Nizam berkata, Sekretariat DMDI telah ditubuhkan secara rasmi bagi Bosnia dan Herzegovina pada 17 Mei lalu selepas lawatan selama tiga hari Presiden DMDI ke negara berkenaan dari 12 hingga 18 Mei lalu.

Katanya, penubuhan Sekretariat DMDI di negara berkenaan bertujuan memperkukuhkan hubungan antara negaranegara Islam di Eropah.

"Ini menunjukkan keahlian anggota DMDI semakin bertambah dan kita juga merancang untuk menyusun pelbagai aktiviti yang dapat dimanfaatkan bersama," katanya.

Sementara itu, Tarik mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang telah disalurkan oleh DMDI bagi membantu meringankan beban penduduk di Bosnia. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment