My Add

Thursday 5 June 2014

RM130 juta diagih kepada 260,000 pekebun kecil getah

PUTRAJAYA, RABU 04 Jun, 2014: Seramai 260,000 orang pekebun kecil getah di seluruh negara akan menerima RM500 seorang di bawah Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah mulai pertengahan bulan ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebanyak RM130 juta telah diperuntukkan untuk pengagihan bantuan khas tersebut yang akan dibayar secara one off kepada pekebun kecil yang layak.

“Mereka yang layak mestilah rakyat Malaysia yang memiliki keluasan kebun di bawah 2.5 hektar serta berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut sama Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Ibrahim Muhamad dan kedua-dua Timbalannya, Datuk Rahim Abu Bakar dan Datuk Ahmad Zubir Abd Ghani serta Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad.

Harga purata getah SMR jatuh daripada RM7.75 satu kilogram pada tahun 2013 kepada RM6.11 sekilogram pada tahun ini.

Akibatnya pendapatan pekebun kecil hasil daripada kebun getah jatuh daripada RM729 sebulan kepada RM537.83 sebulan.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, RISDA akan menyalurkan bantuan secara berperingkat kepada semua pekebun kecil yang layak sehingga 31 Disember ini.

“Bagi mereka yang layak dan mempunyai maklumat yang lengkap, RISDA akan mula salurkan bantuan ke dalam akaun pekebun kecil bermula pertengahan bulan Jun ini dan semua penerima akan dimaklumkan melalui surat.

“Ini merupakan kali kedua kerajaan mengagihkan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah, sejumlah RM127.3 juta telah disalurkan melalui RISDA kepada 254,672 orang pekebun kecil getah pada tahun lalu," katanya.

Tambahnya, pekebun kecil yang layak tetapi nama mereka tercicir boleh melakukan permohonan di pejabat RISDA berhampiran dengan membawa kad pengenalan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment