My Add

Thursday 5 June 2014

RM150j diperuntuk untuk e-Baucar GST

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: Kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk memberi e-Baucar cukai barang dan perkhidmatan (GST) kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mendapatkan perisian percukaian elektronik yang sistematik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) ber­kata, pemberian e-Baucar bernilai RM1,000 bagi setiap PKS itu adalah bagi memudahkan mereka untuk mempunyai sistem cukai yang lebih teratur.

Katanya, pendaftaran e-Baucar GST bermula hari ini hingga 31 Disember depan.

“Pemberian e-Baucar bertujuan untuk merekodkan transaksi cukai yang dilakukan oleh PKS," katanya selepas majlis pelancaran Ekspo Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMIDEX) 2014 di sini hari ini.

Pelancaran SMIDEX 2014 disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mustapa mengulas pengumuman Najib tentang pemberian e-Baucar GST kepada PKS dalam majlis pelancaran SMIDEX 2014.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SMECorp), Datuk Hafsah Hashim.

Dalam perkembangan sama, Hafsah berkata, sebanyak 55 vendor telah dilantik oleh Kementerian Kewangan bagi menyediakan perisian GST untuk ditebus oleh PKS dengan menggunakan e-Baucar.

Katanya, syarat-syarat untuk mendapatkan e-Baucar GST adalah sesebuah syarikat itu mesti memenuhi definisi PKS, telah mendaftar GST dengan kerajaan dan mempunyai nombor pendaftaran GST.

Selain itu, katanya, syarikat-syarikat PKS mestilah kepunyaan Malaysia dengan pegangan sekurang-kurangnya 51 peratus.

“Selepas pendaftaran ditutup 31 Disember ini, PKS boleh menebus e-Baucar masing-masing menerusi 55 vendor yang dilantik pada 28 Februari tahun depan," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment