My Add

Tuesday 10 June 2014

RM250 juta diperuntuk dana pengkomersialan

Oleh NURSURAYA ZULKIFLI

MELAKA, ISNIN 09 Jun, 2014: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan RM250 juta menerusi dana pengkomersialan produk inovasi negara tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, daripada jumlah itu hanya 30 peratus diluluskan sehingga hari ini setelah melalui proses kaji selidik dalam pasaran termasuk penerimaan pengguna.

Menurutnya, produk yang dihasilkan itu perlu dipatenkan oleh penyelidik selain berupaya menembusi pasaran tempatan sebelum dana berkenaan diberi kelulusan.

"MOSTI menerusi konsultan yang dilantik akan mengkaji terlebih dahulu nilai pasaran sama ada ia mampu diterima pengguna selain membuktikan produk inovasi itu berjaya dipasarkan.

"Sekiranya kajian pasaran produk berkenaan gagal diterima, kita tidak akan meluluskannya dengan sewenang-wenangnya walaupun pihak kita menyasarkan 60 produk penyelidikan dan pembangunan untuk dikomersialkan tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri taklimat produk inovasi kesihatan di Bilik Seminar Planetarium Melaka di sini.

Sementara itu, Abu Bakar berkata, faktor kurang penerimaan masyarakat terhadap produk penyelidikan tempatan menyebabkan pengkomersialan produk inovasi di negara ini masih berada pada tahap yang rendah.

Katanya, kalangan masyarakat dilihat bersikap ragu-ragu untuk menerima dan menggunakan hasil produk inovasi tempatan menyebabkannya kurang dikeluarkan dalam negara.

"Kita berharap masyarakat mengubah sikap dan memberi lebih banyak ruang kepada penyelidik tempatan selain mengiktiraf golongan ini sekali gus membolehkan produk tempatan dapat diguna pakai secara meluas di negara ini," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment