My Add

Saturday, 7 June 2014

Rohingya terus ditindas

 * TENTERA Bangladesh mengawal di sempadan Bangladesh berdekatan Myanmar sejak keadaan tegang di sempadan negara berkenaan. - Agensi
MAUNGDAW, Myanmar, JUMAAT 06 Jun, 2014: Tentera Myanmar didakwa merancang untuk menggunakan penduduk etnik Rohingya beragama Islam di daerah Maungdaw sebagai perisai manusia, dalam persediaan jika berlakunya peperangan di antara negara ini dengan Bangladesh.

Agensi berita Burma Times me­laporkan seorang penduduk tempatan berkata, tentera dan Polis Pengawal Sempadan Myanmar (BGP) memaksa anggota etnik Rohingya ke barisan hadapan pertahanan sempadan sebagai pengangkat barang.

Pada 30 Mei lalu, Pentadbir Da­erah Maungdaw, U Aung Myint Soe telah mengadakan perjumpaan bersama pentadbir perkampungan yang didiami oleh penduduk Islam Rohingya di pejabatnya.

"Dalam pertemuan itu Myint Soe berkata, ketika ini sedang berlaku peperangan di utara Maungdaw dan beliau mengarahkan setiap pentadbir kampung menyediakan sekurang-kurangnya 30 orang untuk menjadi pengangkat barang di barisan hadapan pertahanan.

"Tentera Myanmar turut meminta 10 hingga 15 orang penduduk Rohingya dari setiap kampung untuk dijadikan sebagai pengangkat barang di barisan hadapan pertahanan, namun apabila kami enggan melakukannya, mereka mengugut menggunakan kekerasan bagi memaksa kami melakukannya," kata seorang pentadbir kampung yang enggan mendedahkan namanya.

Tentera Myanmar dan BGP dilaporkan didakwa merancang untuk menggunakan etnik Rohingya sebagai perisai manusia jika peperangan tercetus dengan Bangladesh.

"Terdapat beberapa orang penduduk Rohingya telah menjalani latihan sebagai anggota bomba sukarelawan di kampung Ywet-Nyo-Taung dan Kyeing-Chaung, utara Maungdaw. Pada 3 Jun 2012, BGP pernah memaksa mereka turut serta dalam latihan ketenteraan jangka pendek," kata seorang penduduk kampung, Kyeing Chaung.

Pertelingkahan di antara Myanmar dengan Bangladesh tercetus selepas BGP bertindak menyerang dan membunuh tentera Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) di pos kawalan sempadan di barat laut Maungdaw pada 28 Mei lalu.

Ekoran kejadian itu, pertempuran berlaku di antara kedua-dua belah pihak sehingga menyebabkan kerajaan bertindak mengerahkan tentera di sepanjang kawasan sempadan, selain menempatkan tentera laut di sepanjang sempadan maritim.

Agensi berita Mizzima melaporkan, satu pertemuan di antara pegawai Myanmar dan Bangladesh telah diadakan pada 5 Jun 2013, namun ia berakhir dengan pertelingkahan, sekali gus mengeruhkan lagi keadaan serta meningkatkan kebimbangan dikalangan penduduk Rohingya. -AGENSI/UTUSAN

No comments:

Post a Comment