My Add

Thursday, 5 June 2014

Sarawak tampung kos rawatan Ho Leng

KUCHING, KHAMIS 05 Jun, 2014: Kerajaan negeri menunaikan janji untuk menampung sebahagian kos perubatan bekas Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng yang menderita barah otak sejak tahun lalu apabila menyerahkan bantuan kewangan RM1 juta hari ini.

Bantuan kewangan itu diserahkan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar mewakili Ketua Menteri Tan, Sri Adenan Satem kepada isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek itu, Irene Chang.

Menurut Mohamad Asfia, meskipun wujud perbezaan fahaman politik, namun kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak terlepas pandang untuk menjaga kebajikan mana-mana wakil rakyat.

Katanya, Ketua Menteri sendiri yang bersimpati dengan keadaan Ho Leng telah mengeluarkan arahan kepada Pejabat Setiausaha Kewangan negeri untuk mengeluarkan cek kewangan itu dengan kadar segera.

“Atas dasar kemanusiaan, kerajaan negeri bersetuju menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1 juta kepada Ho Leng bagi menanggung sebahagian kos perubatannya.

“Perlu diingatkan, di Sarawak tiada tembok pemisah di antara wakil rakyat BN atau pun pembangkang," katanya dalam majlis penyerahan cek bantuan kewangan di Pejabat Speaker DUN di sini.

Pada 15 Mei lalu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan bantuan berjumlah RM1 juta kepada Ho Leng yang mendapat rawatan di Hospital Mount Elizabeth, Singapura sebelum dimasukkan ke Pusat Pakar Perubatan Rajang di Sibu, dekat sini .- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment