My Add

Thursday 12 June 2014

Sasar 60% ikuti aliran sains pada 2020

 Idris Jusoh

BANGI, RABU 11 Jun, 2014: Kerajaan menyasarkan 60 peratus pelajar di seluruh negara akan mengikuti kelas aliransains menjelang tahun 2020, berbanding 37 peratus pada masa ini.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, bagi mencapai matlamat itu kerajaan akan memberi galakan dan bantuan untuk menarik minat para pelajar ke arah tersebut.

"Kita kena beri galakan kepada para pelajar tentang pentingnya bidang sains dan kerjaya yang mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka apabila habis belajar kelak.

"Selama ini mereka fikir golongan artis antara yang mampu mendapat bayaran yang mahal sedangkan prospek dalam bidang berteraskan sains dan teknologi juga adalah sama.

"Sebab itu, kerajaan menyasarkan 60 peratus daripada kira-kira 5 juta pelajar yang ada supaya mengikuti aliran sains dan 40 peratus lagi dalam aliran sastera pada 2020 nanti," katanya selepas menyerahkan sumbangan RM334,500 kepada Akademi Sains Malaysia dan RM110,000 kepada Pusat Permata Pintar Negara di sini.

Sumbangan ExxonMobil itu termasuk menaja enam pelajar mewakili Malaysia ke pertandingan International Mathematical Olympiad 2014 (IMO) di Afrika Selatan pada 3 hingga 13 Julai ini.

Jelas Idris, pembabitan negara pada pertandingan itu dilihat sebagai salah satu usaha bagi menyemarakkan minat para pelajar sekolah dalam bidang sains dan matematik.

Tambahnya, sejak menghantar kontinjen ke IMO pada 1995, negara pernah mendapat pingat emas iaitu selepas 16 tahun ia menyertai pertandingan yang bertaraf dunia itu.

"Malah, kedudukan Malaysia di kalangan peserta yang menyertai IMO juga bertambah baik iaitu pada kedudukan yang ke-54 pada tahun 2010 dan berada di tangga ke-31 pada 2013.

"Ini suatu pencapaian yang semakin baik yang mana sasaran kita menjadikan aliran sains termasuklah mata pelajaran Matematik popular dalam kalangan pelajar boleh dicapai," jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi dan Presiden ExxonMobil Malaysia, See Kok Yew pula berkata, sebagai syarikat swasta pihaknya juga tidak keberatan membantu usaha tersebut.

Katanya, sokongan berterusan syarikat minyak dan petroleum itu sejak lima tahun lalu diharap mampu melahirkan lebih ramai pakar serta tenaga kerja dalam bidang itu.

"Kami telah terbabit dalam National Science Challenge sejak tiga tahun lalu dan IMO pula selama lima tahun berturut-turut sebagai salah satu sumbangan kami dalam bidang ini.

"Sebagai syarikat minyak, bidang sains serta teknologi ibarat nyawa buat kami. Dengan hampir 80,000 kakitangan ExxonMobil di seluruh dunia sumbangan mereka penting.

"Daripada jumlah itu, 16,000 daripada mereka terdiri daripada saintis dan jurutera yang tentunya mereka ini berlatarbelakangkan bidang sains," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment