My Add

Friday 6 June 2014

Sedia rombak dasar bantu kontraktor kecil

 * FADILLAH Yusof membuat undi tender sempena perasmian Pelancaran Kerja Undi Penyenggaraan Jalan Persekutuan 2014 Peringkat Negeri Johor di Pejabat JKR Daerah, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, KHAMIS 05 Jun, 2014: Kementerian Kerja Raya sedia merombak dasar yang tidak sesuai dalam usaha membantu dan memberi ruang kepada kontraktor kecil merebut pelbagai projek kerajaan.

Menterinya, Datuk Fadillah Yusof berkata, pihaknya terbuka menerima apa juga pandangan, teguran serta kritikan yang membina untuk menambah baik dasar sedia ada khususnya dalam memberi peluang kepada kontraktor kecil.

Katanya, langkah itu juga diambil bagi membantu kontraktor kecil meningkatkan keupayaan jaringan serta keupayaan modal, mengikis kelemahan dan akhirnya mampu bersaing.

"Sekarang ini kita sudah ada dasar. Sebagai contoh, apabila berdaftar mereka akan diberikan latihan dan sebagainya, sebab itu kita agihkan sebahagian peruntukan untuk memberi peluang kontraktor kecil mendapat pekerjaan.

"Tetapi kalau mereka berasakan ada dasar yang tidak bersesuaian dan perlu ditambah baik atau cadangan lain, maka sebagai kerajaan, kita terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan, teguran dan kritikan yang diajukan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Pelancaran Kerja Undi Penyelenggaraan Jalan Persekutuan Tahun 2014 Peringkat Negeri Johor di pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru di sini hari ini.

Fadillah berkata, pihaknya turut berinteraksi dengan persatuan kontraktor dalam usaha mencari jalan bagaimana mahu membantu kontraktor kecil selain menambah baik mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

Katanya, pada masa ini, terdapat seramai 28,000 kontraktor kecil atau kelas G1 berdaftar di seluruh negara.

"Bagi kerja undi kali ini, sebanyak 581 projek bernilai RM28 juta dikenal pasti untuk diagihagihkan kepada kontraktor kelas G1 dan daripada jumlah itu, 412 projek dijalankan di Semenanjung, 81 projek di Sarawak dan 88 di Sabah," katanya.

Menurutnya, pada tahun ini, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.037 bilion bagi menyelenggara jalan Persekutuan di seluruh negara dengan RM409 juta adalah untuk kerja rutin manakala RM628 bagi kerja berkala.

Dalam perkembangan lain, Fadillah memberitahu, pada tahun ini, kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM20 juta untuk menambah baik 50 kawasan blackspot hasil kejayaan melaksanakan 74 projek sedemikian yang bernilai RM31 juta tahun lalu.

Selain itu katanya, sebanyak 35 projek Lintasan Pejalan Kaki Searas 1Malaysia bernilai RM7 juta akan dilaksanakan pada tahun ini selepas berjaya melaksanakan 50 projek sama yang bernilai RM10 juta pada 2013. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment