My Add

Friday 6 June 2014

Selangor perlu ambil tindakan segera atasi banjir kilat

 * RAIS Yatim melakukan gimik pelancaran sambil disaksikan oleh Rektor UIAM, Datuk Seri Prof. Dr. Zaleha Kamarudin (tengah) semasa perasmian Persidangan Antarabangsa Bahasa Ke3 di UIAM, Gombak, Selangor, semalam.
KUALA LUMPUR, KHAMIS 05 Jun, 2014: Kerajaan negeri Selangor dan pihak berkuasa tempatan perlu mengambil tindakan segera bagi mengatasi permasalahan banjir kilat yang me­landa kampus induk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak semalam.

Presiden UIAM, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, insiden banjir kilat yang kali pertama berlaku di kampus itu mungkin akan berulang sekiranya tiada tindakan diambil.

"Kita minta kerajaan negeri Selangor membantu dan mengambil berat permasalahan ini kerana UIAM berada di dalam kawasan mereka.

"Di samping itu, kami di UIAM juga akan melihat kepada pelan jangka pendek dan panjang dalam usaha mengatasi permasalahan banjir kilat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bahasa Ke3 di Auditorium UIAM dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian banjir kilat yang menenggelamkan lima kawasan dalam kampus UIAM semalam ekoran hujan lebat berterusan selama sejam bermula pukul 3 petang selain menyebabkan beberapa kampung termasuk Sungai Cincin, Sungai Pusu dan Gombak Utara dinaiki air.

Kejadian itu turut mengakibatkan puluhan kenderaan termasuk kereta dan motosikal milik pelajar dan kakitangan universiti tersebut ditenggelami air.

Dalam perkembangan berkaitan, Rais turut menggesa kerajaan negeri Selangor melihat semula pembangunan fizikal yang dibangunkan di beberapa pesisiran sungai di Gombak.

"Pihak berkuasa, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lainlain perlu melihat sistem perparitan di seluruh kawasan berhampiran banjir termasuk pembangunan fizikal di hulu sungai.

"Kami mendapat maklumat bahawa beberapa pihak di hulu sungai menjalankan pembangunan fizikal, jadi apa tindakan kawalan yang mereka jalankan bagi memastikan perkara yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rais yang juga Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan berharap penuntut UIAM sentiasa mendahulukan bahasa Melayu walaupun bahasa Inggeris dan Arab menjadi bahasa perantara di universiti itu.

"Saya minta penuntut UIAM tidak langsung terus melupakan bahasa Melayu. Jika semua orang berbahasa Inggeris dan tidak lagi menggunakan bahasa Melayu, maka itu akan menyebabkan kita semua hilang identiti kita," katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pusat Bahasa dan Pembangunan Akademik Pra Universiti, Prof. Dr. Sarudin Isarji berkata, UIAM menetapkan bahasa Melayu sebagai khusus wajib perlu diambil pelajar bagi membolehkan mereka menamatkan pengajian.

Pada persidangan tersebut, 205 kertas bagi tiga bahasa merangkumi bahasa Melayu, Inggeris dan Arab dibentangkan termasuk mendapat penyertaan peserta dari 28 buah negara. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment