My Add

Tuesday 10 June 2014

Siasatan kes culik Singamata selesai - KPN

KOTA KINABALU, SELASA 10 Jun, 2014: Warga Filipina Marcy Dayawan, 40, yang sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan kes culik di Pulau Singamata, Semporna awal April lalu, sudah dihantar pulang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, siasatan berhubung kemungkinan pembabitan wanita itu dalam kes berkenaan juga sudah selesai.

"Dia sudah dihantar pulang ke Filipina. Saya tidak mahu komen pasal siasatan itu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Khalid, pihaknya kini bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina bagi mengambil tindakan terhadap penculik yang terbabit dalam kes itu.

Pada 2 April lalu, sekumpulan tujuh lelaki bersenjata telah menculik pelancong warga China Gao Hua Yuan, 29, dan Dayawan, yang bekerja di Singamata Adventures and Reef Resort, kira-kira 10.30 malam.

Kedua-duanya dibebaskan pada hujung bulan lalu.

Mengenai kes penculikan pengurus syarikat pusat penternakan ikan di Pulau Baik, Lahad Datu pada awal pagi 6 Mei lalu, beliau berkata, mangsa Yang Zai Lin, 34, dari Guangzhao, China dalam keadaan selamat dan pihaknya sedang berusaha untuk membebaskan mangsa tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment