My Add

Tuesday 10 June 2014

Simbah anak enam tahun dengan air panas

Oleh UMAVATHI RAMAYAH

 * NOR Zuliana Tahir (kiri) dan Zuhairy Kassim dibawa keluar dari Mahkamah Ampang, Selangor, semalam atas tuduhan mendera anaknya hingga mati.
KUALA LUMPUR, ISNIN 09 Jun, 2014: Sepasang suami isteri yang dipercayai bertindak kejam mendera dengan menyimbah air panas terhadap anak lelaki mereka yang berusia enam tahun sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia, dihadapkan ke Mahkamah Ampang, dekat sini hari ini.

Di Mahkamah Majistret, ibu kandung mangsa, Nor Zuliana Tahir, 32, dan bapa tiri, Zuhairy Kassim, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama menganiaya Muhammad Akhil Mustaqim Rasidy di rumah bernombor 13-3 Pangsapuri Permai Ria, Tasik Permai, dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari antara 23 Mei dan 25 Mei lalu.

Bagi pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Ayuni Izzati Sulaiman tidak membenarkan jaminan terhadap Nor Zuliana yang merupakan suri rumah dan pasangannya yang bekerja sebagai pemandu teksi.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Nor Zuliana juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian anak kandungnya itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Hakim Unaizah Mohd. turut tidak membebaskan wanita itu dengan jaminan.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan peguam tertuduh untuk mengemukakan hujahan agar anak guam mereka itu dibenarkan diikat jamin, esok.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam-peguam Donny Abdullah dan Badrul Munir Mohd. Bukhari.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kedua-dua pertuduhan itu pada 18 Julai ini.

Akhbar melaporkan mangsa yang merupakan anak keempat daripada lima adik beradik ditemui tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1 tengah hari oleh ibunya di rumah mereka.

Kanak-kanak malang itu kemudian disahkan meninggal dunia selepas dihantar ibunya ke Hospital Ampang.

Kesemua anak mereka kini ditempatkan di bawah penjagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - UTUSAN

No comments:

Post a Comment