My Add

Friday 13 June 2014

Singapura pelabur terbesar di Iskandar

NUSAJAYA, KHAMIS 12 Jun, 2014: Kerancakan pembangunan di Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur dan hingga April lalu, berjaya merekodkan jumlah pelaburan sebanyak RM138.61 bilion dengan Singapura menjadi pelabur utamanya sebanyak RM11 bilion.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim (gambar) berkata, daripada jumlah tersebut, sejak diwujudkan pada 2006, Iskandar Malaysia terus menjadi tumpuan pelabur dari Singapura dalam pelbagai bidang termasuk yang terbaharu dalam industri kreatif, logistik dan pembuatan.

"Pada masa ini, Singapura me­rupakan pelabur asing tertinggi di Iskandar Malaysia.

"Malah, mereka terus menunjukkan minat dan kita akan umumkan tentang pelaburan baharu dari negara itu apabila tiba masanya kelak," katanya selepas Majlis Pecah Tanah Nusajaya Tech Park yang disempurnakan bersama oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, Lim Hng Kiang.

Yang turut hadir, Pe­ngerusi Jawatankuasa, Pe­lancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Pengerusi UEM Sunrise Bhd. (UEM Sunrise) Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Ascendas Pte. Ltd. (Ascendas), Manohar Khiatani dan Pengarah Eksekutif UEM Sunrise, Datuk Izzaddin Idris.

Projek Nusajaya Tech Park dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM3.7 bilion di atas tanah seluas 210 hektar selama sembilan tahun itu adalah hasil kerjasama syarikat dari Malaysia dan Singapura iaitu UEM Sunrise dan Ascendas.

Sementara itu, Mustapa berkata, pembangunan Nusajaya Tech Park merupakan bukti kerjasama antara kedua-dua negara selain mewujudkan situasi menang-menang dan bakal menjadi pemacu kerancakan pertumbuhan di Iskandar Malaysia.

"Hubungan baik selain kedudukan kedua-dua negara yang dekat dilihat menyumbang kepada jumlah pelaburan tinggi dari Singapura dan saya yakin wilayah itu akan terus menjadi tumpun pelabur dari dalam dan luar negara pada masa akan datang," katanya.

Sementara itu, Hng Kiang berkata, Singapura menyumbang sebanyak 23 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diterima di Iskandar Malaysia, sekali gus membuktikan hubungan erat kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment