My Add

Friday 6 June 2014

Skim Bazar Ramadan RM45j

 * *NAJIB Tun Razak melancarkan Skim Bazar Ramadhan (SBR) 2014 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam. Turut hadir Hasan Malek (dua dari kiri), Ahmad Bashah Hanipah (kanan), Alias Ahmad (kiri) dan Ramli Norani. - UTUSAN/Zaki Amiruddin
PUTRAJAYA, KHAMIS 05 Jun, 2014: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memperuntukkan RM45 juta di bawah Skim Bazar Ramadan 2014 untuk menyediakan pinjaman kepada penjaja dan peniaga kecil yang ingin berniaga pada bulan puasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, skim yang turut dikenali sebagai Skim Pembiayaan MikroI Bazar Ramadan tersebut menawarkan pinjaman tanpa faedah berlandas Syariah sehingga RM3,000 untuk dijadikan modal perniagaan.

"Pinjaman ini akan diuruskan oleh Bank Rakyat dan permohonan perlu dibuat melalui Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil.

"Penyaluran pinjaman pula akan dibuat dalam tempoh seminggu dari tarikh dokumen persetujuan kelulusan ditandatangani oleh pemohon, ini bagi memberi tempoh masa dan ruang yang mencukupi kepada peminjam untuk membuat persediaan sebelum memulakan perniagaan," katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran skim tersebut di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek; timbalan menteri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Alias Ahmad dan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja Kecil Kebangsaan, Datuk Ramli Norani.

Walaupun permohonan pinjaman dijalankan melalui Gabungan PersatuanPersatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu, namun bukan ahli persatuan juga dialualukan untuk memohon.

Bank Rakyat bertanggungjawab untuk menyalur dan mengutip pinjaman tersebut manakala peminjam boleh membuat bayaran secara ansuran mingguan atau sekali sahaja.

Najib berkata, tempoh bayaran balik untuk skim pembiayaan tersebut ialah dalam tempoh dua bulan selepas bulan Ramadan iaitu 50 peratus dijelaskan sebelum tamat bulan Syawal dan bakinya perlu dibayar sebulan selepas bulan Syawal .

"Hebahkanlah berita baik ini kepada rakanrakan peniaga atau mereka yang baharu bercadang untuk berniaga pada bulan Ramadan ini, rebutlah peluang ini sebaik mungkin," katanya dalam majlis yang turut dihadiri pemimpin persatuanpersatuan penjaja dan peniaga kecil Melayu.

Perdana Menteri berkata, sektor penjaja merupakan kegiatan ekonomi utama kerana statistik menunjukkan terdapat lebih 1.04 juta penjaja dan peniaga kecil berdaftar di seluruh negara setakat 30 April ini.

"Sektor ini memainkan peranan penting dalam pertumbuhan sosio ekonomi negara. Masyarakat di bandar dan luar bandar banyak bergantung kepada perkhidmatan yang ditawarkan oleh penjaja dan peniaga kecil.

"Mereka menyediakan pelbagai produk di samping dapat mengurangkan kos sara hidup masyarakat dengan menyediakan barang, makanan dan perkhidmatan dengan harga yang berpatutan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment