My Add

Wednesday 4 June 2014

Suwaibah beri inspirasi kepada wanita - Rosmah

 * ROSMAH Mansor bersama Suwaibah Muhammad Nasir (depan, empat dari kanan) bergambar bersama kakitangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) di Riva Sette De Marite, Venice, semalam. - BERNAMA
VENICE, SELASA 03 Jun, 2014: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berharap kisah kejayaan pelari solo negara Suwaibah Muhammad Nasir yang berjaya menyempurnakan Larian Terusan Sutera Merentasi Laluan Marco Polo (Larian Aroma), akan menjadi model peranan dan memberi ilham kepada lebih banyak wanita Malaysia untuk mencapai kejayaan lebih besar.

Katanya walaupun terpaksa meredah laluan paling sukar dan menghadapi cabaran serta rintangan yang amat dahsyat, namun bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berjaya mengatasinya dengan berkat kekuatan fizikal dan mental yang dimilikinya.

Rosmah, yang juga penaung Larian Aroma itu berkata, kejayaan Suwaibah menepati semangat 'Malaysia Boleh' dan mempamerkan keberanian serta keazaman wanita Malaysia dalam mengharungi cabaran untuk mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang.

"Suwaibah mewakili wanita Malaysia yang bebas dan berazam tinggi. Beliau telah mencatat banyak kejayaan cemerlang dan setakat ini mencatat 10 rekod dalam Malaysia Book of Records. Kini, beliau dalam perjalanan untuk mencatat rekod dalam Guinness World Book of Records sebagai wanita Malaysia pertama berlari solo merentasi laluan perdagangan yang amat bersejarah itu.

"Ini bukan tugas mudah dan oleh itu ia patut menjadi kebanggan seluruh rakyat Malaysia," katanya selepas menyambut Suwaibah di garisan penamat larian itu di Riva Sette De Marite di sini pada pukul 3.55 petang waktu tempatan (9.55 malam waktu Malaysia) hari ini.

Suwaibah, yang memulakan larian itu di Beijing pada 30 Mac lepas, berlari merentasi empat benua dan 12 negara, termasuk China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Turkmenistan, Iran, Turki, Bulgaria, Serbia, Croatia, Slovenia dan Itali sejauh 3,333 kilometer. Beliau berlari 50 kilometer sehari di laluan Sutera.

Bertemakan 'One World One Hope', Suwaibah berharap dapat memupuk keamanan dunia dan menyebarkan mesej keamanan ketika merentasi setiap negara dan berjumpa dengan masyarakat daripada pelbagai agama, bangsa dan budaya.

Rosmah berkata, Larian Aroma yang dilakukan Suwaibah itu juga adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 31 Mei.

"Adalah sesuatu yang amat menggembirakan apabila mengetahui misi Suwaibah terbukti ber­jaya dan beliau mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada negara terbabit.

"Sambutan meriah, persahabatan dan motivasi yang beliau terima di China berulang di semua negara yang beliau rentasi. Malah, Suwaibah mendapat sokongan dan galakan yang melimpah ruah daripada penduduk tempatan di sepanjang Laluan Sutera," katanya.

Rosmah, yang juga penaung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), mengucapkan tahniah kepada Suwaibah kerana kejayaan cemerlangnya dalam larian solo itu.

"Saya bangga kerana nama seorang wanita Malaysia akan tercatat di dalam rekod dan menjadi sebahagian daripada sejarah Laluan Sutera," katanya.

Sementara itu, Suwaibah menyifatkan perjalanan yang diharunginya sebagai 'panjang serta amat memeritkan'.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Rosmah dan mereka yang membantu serta menyokong misinya itu.

"Hari ini, saya gembira kerana berada di sini setelah meredah muka bumi yang amat menyukarkan dan berjaya mengatasi semua cabaran dahsyat, terutama keadaan cuaca serta iklim di setiap negara.Daripada perjalanan indah ini, saya banyak belajar tentang kehidupan," katanya.

Suwaibah menghadiahkan sebuah buku 'coffee table' bertajuk 'Nafasku Mencari Damaimu' kepada Rosmah. Buku itu mengandungi koleksi foto yang dirakam di sepanjang larian tersebut. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment