My Add

Thursday 12 June 2014

Tangguh pindahkan nelayan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL

PULAU PINANG, RABU 11 Jun, 2014: Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak menangguhkan arahan pengosongan kawasan Balai Nelayan Jelutong dekat sini yang dikenakan terhadap kira-kira 300 nelayan dan pengusaha ikan sangkar di kawasan berkenaan.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP), Rahmad Isahak berkata, tindakan itu tidak wajar selagi tiada perbincangan dan keputusan menang-menang dicapai bagi melindungi periuk nasi nelayan dan pengusaha ikan sangkar di pesisir pantai berkenaan.

Menurut beliau, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak seharusnya memberi keutamaan kepada pembangunan melalui penambakan laut oleh pihak pemaju, sebaliknya perlu mengutamakan soal penempatan dan kebajikan nelayan dan pengusaha ikan sangkar terbabit.

Perkara itu tambah beliau, adalah wajar bagi mengelak golongan tersebut dijadikan kambing hitam atau mangsa bagi pihak pemaju mengaut keuntungan daripada pembangunan di sekitar kawasan berkenaan.

"Kerajaan negeri sepatutnya lebih prihatin dalam isu ini, bukannya bertindak keterlaluan seakan-akan menyebelahi pihak pemaju apatah lagi pembangunan di kawasan tersebut adalah mengikut fasa dengan sebahagiannya masih dalam proses pembangunan.

"Untuk sampai ke lokasi nelayan terbabit juga akan mengambil masa, jadi mengapa tergesa-gesa mengeluarkan notis pengosongan tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Khas Utusan Malaysia hari ini mengenai nasib kira-kira 300 nelayan dan pengusaha ikan sangkar di pesisir pantai berhampiran Balai Nelayan Jelutong, Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu yang diarahkan mengosongkan kawasan terbabit menerusi dua notis yang diterima masing-masing pada 22 April dan 18 Mei lalu.

Apa yang mengecewakan, notis pengosongan itu diberikan tanpa kumpulan nelayan terbabit dipanggil untuk berbincang mengenai nasib dan masa depan mereka.

Kerajaan DAP Pulau Pinang juga dilihat lepas tangan berhubung kebajikan nelayan-nelayan terbabit apabila tidak menawarkan kawasan baharu untuk mereka meneruskan mata pencarian.

Dalam masa sama, Rahmad turut melahirkan kebimbangan nasib golongan nelayan dan pengusaha ikan sangkar di Jelutong itu turut berakhir sama seperti penduduk di Kampung Pokok Asam yang juga dihalau bagi memberi laluan kepada projek komersial tanpa dipertimbangkan ganti rugi dan penempatan semula yang rasional.

Sedangkan katanya, kesemua mereka bukan penceroboh malah telah bermastautin di kawasan tersebut dalam tempoh cukup lama selain merupakan anak jati negeri ini.

"Untuk itu, kita berharap kerajaan negeri dapat menangguhkan notis pengosongan tersebut supaya nasib nelayan-nelayan berkenaan yang majoritinya orang Melayu diselesaikan menerusi rundingan," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment