My Add

Wednesday 11 June 2014

Tapir untuk panda: Kerajaan tunggu jawapan China - Palanivel

JERANTUT, RABU 11 Jun, 2014: Kerajaan sedang menunggu jawapan China berhubung cadangan Malaysia meminjamkan sepasang tapir kepada negara itu sebagai balasan terhadap sepasang beruang panda gergasi yang dipinjamkan oleh China.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel berkata, jika China bersetuju, pasangan tapir berkenaan akan dihantar ke sana dalam tahun ini juga.

``Kita sudah beritahu China dan sedang tunggu jawapan mereka,'' katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Pengurus-pengurus Kawasan Peliharaan Kebangsaan yang pertama di Taman Negara Kuala Tahan, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan tapir antara haiwan yang dijangka dipinjamkan kepada China sebagai pertukaran balas sepasang beruang panda gergasi yang tiba di negara ini bulan lepas.

Ditanya mengenai kemasukan percuma untuk rakyat negara ini menyaksikan pasangan beruang panda gergasi Fu Wa dan Feng Yi di Zoo Negara, Palanivel berkata perkara itu masih dalam pertimbangan.

``Kemungkinan kita akan beri kemasukan percuma untuk tujuh atau 10 hari sahaja,'' katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment