My Add

Monday 16 June 2014

Tentera Iraq rampas semula 3 bandar

 * KUMPULAN bersenjata Kurdis Iraq Peshmerga mengerahkan anggota dan kereta kebal ke pinggir bandar Kirkuk, kira-kira satu kilometer dari kawasan yang dikuasai kumpulan Jihad Sunah daripada Negara Islam Iraq dan Jajahannya (ISIL) di jalan utama antara Kirkuk, Mosul dan Baiji di utara Iraq pada 12 Jun lalu. - AFP
BAGHDAD, AHAD 15 Jun, 2014: Pasukan keselamatan Iraq berjaya merampas semula tiga pekan di wilayah Salahudin ketika pertempuran sengit berterusan bagi menggempur kumpulan pemberontak Negara Iraq dan Jajahannya (ISIL) sejak kelmarin.

Perkembangan terbaharu itu, sekali gus menyekat kemaraan militan ISIL yang sebelum ini menguasai banyak kawasan di wilayah Diyala selepas tentera Iraq melancarkan serangan balas, yang bermula kelmarin.

Agensi berita Xinhua melaporkan, tentera kerajaan yang disokong sukarelawan awam menguasai semula pekan Ishaqi, al- Mu'tasim dan Duluiyah, tiga kawasan yang terletak di utara Baghdad.

Dua lagi kampung dekat bandar Baiji, kira-kira 200 kilometer ke utara Baghdad, turut bebas daripada ancaman militan selepas pasukan polis dan penduduk tempatan mengangkat senjata memerangi militan ISIL dan mereka dilapor bersedia merampas semula bandar-bandar lain yang dikuasai ISIL.

Di wilayah Diyala, pertempuran sengit meletus antara pasukan keselamatan dan kumpulan militan di bandar Saadiyah mengakibatkan lima orang terbunuh termasuk seorang anggota polis, manakala serangan tentera udara Iraq ke atas pusat sukarelawan Kurdis menyebabkan enam orang terbunuh.

Serangan udara juga dilancarkan di beberapa kawasan penempatan di bandar Fallujah, kira-kira 50 kilometer dari Baghdad, mengorbankan lima orang dan mencederakan 14 yang lain.

Sementara itu, militan ISIL dan beberapa kumpulan bersekutu lain masih menguasai banyak kawasan di utara Iraq termasuk 17 kampung di sekitar Qara-Tabba dan 16 kampung di Saadiyah.

Kumpulan berkenaan turut menguasai 15 kampung di Udheim dan 12 kampung di luar bandar Jalawlaa, kira-kira 130 kilometer ke timur laut Baghdad.

Situasi itu, sekali gus memberi tekanan kepada Perdana Menteri Nouri al-Maliki sama ada mahu meminta bantuan Amerika Syarikat (AS) yang sedia melancarkan serangan udara dari Teluk Parsi selain menerima tawaran bantuan dari Iran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment