My Add

Wednesday 4 June 2014

'Tiada ruang buat Syiah di Kedah'

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

ALOR SETAR, SELASA 03 Jun, 2014: "Tiada ruang buat Syiah di Kedah" Demikian penegasan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir ketika diminta mengulas perancangan pihak tertentu yang cuba menjadikan negeri itu sebagai tapak untuk berkembang apabila cuba menganjurkan perhimpunan Syiah peringkat kebangsaan di Pendang baru-baru ini.

Menurutnya, pindaan kepada rang Undang-Undang Jenayah Syariah berhubung isu Syiah sudah pun dicetak kira-kira empat hari lalu sekali gus mampu menjadi penghalang kepada pengikut ajaran itu daripada memutar belit keadaan setiap kali tindakan mahu diambil ke atas mereka.

"Sebelum ini para pengikut ajaran itu mendakwa kononnya tindakan tidak boleh diambil ke atas mereka kerana pindaan undang-undang Syariah mengenai Syiah tidak dicetak walaupun sudah diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 28 Ogos lalu.

"Tetapi kini mereka sudah tidak boleh memberi alasan. Sebaik sahaja dicetak, undang-undang itu berkuat kuasa serta-merta dan pihak berkuasa boleh terus mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menghidupkan ajaran itu di negeri ini," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada Siri Ceramah Insan Cemerlang anjuran Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di sini hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan ucaptama bertajuk Peranan integriti dan etika dalam membentuk tadbir urus korporat yang baik dengan ditemani Rektor Kuin, Prof. Datuk Mohd. Yusof Kasim di pentas utama yang bertindak selaku moderator.

Khamis lalu, Pemuda UMNO Pendang membuat laporan polis bagi menghalang satu perhimpunan didakwa melibatkan pengikut Syiah dari seluruh negara di Kampung Alor Berala yang mahu menyambut Wiladah Hussein iaitu perayaan yang terdapat dalam kalendar Syiah.

Tindakan itu menyebabkan perhimpunan tersebut dibatalkan setelah rombongan pengikut Syiah dari luar Kedah membatalkan rombongan mereka selain kain rentang mengenainya diturunkan. Difahamkan, hanya beberapa penduduk tempatan mengadakan pertemuan di situ tanpa menggunakan pembesar suara atau mengadakan majlis keramaian.

Sementara itu, dalam ucaptama yang disampaikannya, Mukhriz menarik perhatian pengunjung apabila menceritakan mengenai integriti yang ada pada beberapa tokoh dalam dan luar negara termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Menurutnya dalam satu lawatan ke luar negara, Abdul Razak terlupa membawa ubat gigi dan krim rambut menyebabkan beliau meminta juru iringnya membantu membelikan barangan tersebut.

"Selesai sarapan keesokan harinya, beliau bertanya kepada juru iring itu mengenai harga kedua-dua barangan tersebut tetapi individu berkenaan memaklumkan pembelian itu akan dimasukkan dalam tuntutan perbelanjaan perjalanan menyebabkan Tun Razak menegur perbuatan itu dengan mengatakan adalah salah untuk perbelanjaan peribadi seseorang itu dibayar daripada sumber kewangan kerajaan," katanya. - UTYSAN

No comments:

Post a Comment