My Add

Thursday 5 June 2014

UPP Kedah rampas beras, pulut seludup

 * ABDUL Latif Abdul Rahman (kanan ) menunjukkan 424 kampit beras dan beras pulut seludup dalam satu serbuan ke atas sebuah stor di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, Kedah, Kubang Pasu, Kedah, semalam. - Ihsan The Star
KUBANG PASU, RABU 04 Jun, 2014: Cubaan satu sindiket menjadikan sebuah pusat pengumpulan susu getah untuk menyorokkan beras dan beras pulut yang diseludup dari negara jiran gagal apabila diserbu Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) negeri semalam.

Serbuan kira-kira pukul 1.30 petang itu dilakukan sembilan anggota diketuai Timbalan Komandan Operasi dan Risikan UPP Bukit Kayu Hitam, Inspektor Kamar Barin.

Komander UPP negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya melakukan intipan di premis itu sejak beberapa hari lalu selepas mendapat maklumat orang awam.

“Hasil pemeriksaan, pihak kami menemukan 407 kampit beras dan 17 kampit beras pulut yang setiap satunya seberat 50 kilogram. Nilai keseluruhannya dianggarkan RM42,400.

“Seorang lelaki berusia 19 tahun yang merupakan penjaga premis gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang disimpan menyebabkan kita mengesyaki kemungkinan ia diseludup ke negara ini," katanya ketika ditemui di Kompleks UPP di Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Menurut Abdul Latif, siasatan lanjut mendapati pusat pengumpulan susu getah itu tidak lagi bero­perasi dan pernah diserbu kerana menjadi lokasi penyeludupan benih kerang, kira-kira dua tahun lalu.

“Pihak kami percaya, sindiket terbabit telah menggunakan taktik yang sama dan kini menjadikannya sebagai pusat pengumpulan beras seludup bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa.

“Kesemua beras dan beras pulut ini dari gred yang baik dan dipercayai dibawa masuk secara kecil-kecilan melalui negara jiran sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," ujarnya.

Tambah beliau, suspek yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Katanya, lelaki terbabit dan hasil rampasan tersebut diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment