My Add

Thursday 5 June 2014

Usahawan wanita Malaysia, Perancis digesa jalin hubungan maya

 * ROSMAH Mansor (dua, kanan) diiringi Rohani Abdul Karim (kiri) melawat pameran batik, tenun dan songket sempena Pertunjukan Eleganza “A Presentation of Malaysian Design and Creativity" di Le Pre Catelan di Paris, semalam. - BERNAMA
PARIS, RABU 04 Jun, 2014: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menggesa usahawan wanita Malaysia dan Perancis mewujudkan jalinan maya bagi memperkukuh hubungan dan memanfaatkan teknologi baharu untuk lebih berjaya dalam bidang keusahawanan.

Dalam membangunkan dan memperkukuh rantaian, beliau berkata, usahawan wanita tidak wajar mengehadkan hubungan secara fizikal, sebaliknya memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk berhubung, menjalin rantaian dan mengantarabangsakan perniagaan mereka.

“Rantaian sokongan yang baik adalah asas untuk kejayaan wanita (dalam keusahawanan).

“Kita tidak wajar rasa selesa dan terus berada dalam zon selesa kita. Kita mereka berusaha membangunkan perniagaan dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk kekal kompetitif dalam dunia yang penuh cabaran.

“Rantaian bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk memastikan kita sentiasa seiring dengan perubahan. Anjakan paradigma telah berlaku dan wanita semakin diperakui sebagai penggiat utama dalam membantu mencorakkan landskap ekonomi dan masyarakat dan negara," katanya pada Sesi Rantaian Perniagaan Wanita dalam Perniagaan Malaysia dan Perancis di sini pada Rabu.

Turut hadir Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri; Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim; Duta Besar Malaysia di Perancis, Tan Sri Ismail Omar; dan Setiausaha Agung Wanita Perniagaan dan Profesional di Perancis, Christine Cluzel.

Seramai 60 usahawan dari Malaysia dan Perancis menghadiri sesi rantaian perniagaan itu.

Rosmah berkata, sesi itu disediakan untuk usahawan wanita kedua-dua negara untuk memperluas dan memperkukuh hubungan.

“Walaupun secara fizikalnya jarak beribu batu antara Perancis dan Malaysia, namun dekat berdasarkan kemudahan teknologi. Oleh itu saya menggesa anda untuk membentuk jalinan maya. Rantaian ini penting bagi membolehkan anda mengembangkan dan mengoptimumkan potensi untuk menjadi penggiat utama dalam ekonomi global," katanya.

Rosmah berkata, jika ahli perniagaan wanita membantu dan memberi inspirasi kepada wanita berbakat yang lain, ia akan meningkatkan keupayaan mereka menerusi mentor, latihan dan membuka peluang untuk kredit dan pasaran.

Sementara itu, Rosmah berkata, wanita semakin menguasai dunia perniagaan dengan membentuk satu pertiga daripada mereka yang terlibat dalam bidang keusahawanan di seluruh dunia.

Di Perancis, katanya, angka menunjukkan 33 peratus daripada perniagaan baharu diwujudkan oleh wanita dan 69 peratus wanita sedang merancang atau dalam proses untuk menubuhkan perniagaan, manakala di Malaysia, PKS menyumbang 99.2 peratus daripada keseluruhan perniagaan dengan 16 peratus atau 82,900 dimiliki usahawan wanita.

“Oleh itu wanita semakin menjadi pemangkin utama pertumbuhan ekonomi dengan menguasai 40 hingga 50 peratus perniagaan. Sektor pertumbuhan terbesar bagi perniagaan wanita ialah perdagangan borong, perkhidmatan penjagaan kesihatan, hiburan dan rekreasi, perkhidmatan saintifik dan teknikal.

“Semakin besar penyertaan wanita, semakin sihat ekonomi. Pembabitan lebih ramai wanita dapat membantu pertumbuhan, lebih daya saing dan pembangunan manusia yang lebih baik," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment