My Add

Friday 6 June 2014

Usik UiTM’ jadi agenda halus jatuhkan orang Melayu

KOTA BHARU, KHAMIS 05 Jun, 2014: Tindakan pihak tertentu mempolitikkan hak pelajar-pelajar Melayu dan bumiputera untuk belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) disifatkan sebagai agenda halus untuk menjatuhkan kaum tersebut.

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Ir. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, terdapat beberapa pihak tertentu mempunyai agenda tersembunyi dan menggunakan politik untuk merosakkan nama baik UiTM.

"Malah, ada pihak yang membandingkan kedudukan UiTM dengan sebuah universiti swasta di negara ini yang dikatakan menduduki tangga lebih baik, namun hakikatnya, bukan begitu.

"Namun, saya mengakui pengambilan pelajar UiTM adalah lebih besar dan luas untuk membantu orang Melayu dan bumiputera menyambung pengajian, tidak seperti universiti lain yang mengutamakan pemilihan merit sematamata," katanya.

Sahol Hamid berkata demikian kepada pemberita dalam majlis Perasmian Kolokium Pengajaran dan Pembelajaran Kedua di sini malam tadi.

Sebanyak 62 kertas kerja akan dibentangkan sepanjang kolokium yang berlangsung selama tiga hari itu, membabitkan 150 pensyarah daripada pelbagai kampus dan fakulti UiTM di seluruh negara.

Majlis tersebut, beliau turut melancarkan lima buku hasil daripada proses kurikulum akademik sepanjang 2013.

Sahol Hamid berkata, orang Melayu dan bumiputera juga boleh berjaya dan maju biarpun tanpa membuka kemasukan kepada kaum Cina dan India di UiTM.

"Saya tidak melihat keterbukaan UiTM dengan pengambilan pelajar Cina dan India akan mencabar minda pelajar Melayu dan bumiputera. Siapa kata bersaing dalam satu bangsa sahaja seseorang mahasiswa itu tidak boleh maju. Lihat sahaja Jepun mahupun Jerman, mereka bersaing sesama sendiri dalam satu bangsa, namun masih boleh maju.

"Kalau mahu terus mempersoal tentang hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera di UiTM, tukarlah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SKJT). Mungkin kita akan fikirkan macam mana nanti," katanya dalam nada sinis.

Dalam perkembangan lain, Sahol Hamid memberitahu, penganjuran kolokium itu sangat penting untuk menggubal kurikulum yang berupaya membentuk graduan berkebolehan bagi memenuhi kehendak industri dan majikan.

Menurut beliau, pihak universiti perlu memperkukuh kurikulum masingmasing bagi mempersiap mahasiswa agar lebih bersedia apabila tamat pengajian nanti.

"Majikan sekarang memerlukan graduan yang holistik dan serba boleh. Adakala permintaan mereka itu melebihi keupayaan universiti. Kebanyakan majikan mahukan graduan ready made.

"Tetapi kalau mahu dibandingkan dengan negara luar seperti Jerman, majikan di sana dikehendaki melatih graduan, namun di sini berbeza. Majikan tidak membuat program latihan tetapi terus meminta graduan yang terlatih dan terbaik untuk bekerja dengan mereka," kata beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment