My Add

Wednesday 4 June 2014

Wajar percaya kuasa Jakim

KUALA LUMPUR, SELASA 3 Jun, 2014: Umat Islam di negara ini wajar meletakkan kepercayaan kepada Bahagian Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang merupakan pihak berkuasa dalam hal ehwal halal di Malaysia.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul Al-Fiqh, Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Maszlee Malik percaya prosedur operasi standard (SOP) dan tahap profesionalisme bahagian itu dalam isu pelabelan halal boleh diyakini.

Beliau menegaskan, sebarang penyalahgunaan label mereka adalah di luar kawalan makmal bahagian berkenaan.

"Keputusan Jakim yang mengesahkan bahawa dua produk coklat Cadbury yang dikatakan mengandungi Asid Deoksiribonukliek (DNA) babi (porcine) adalah tidak benar dan status kehalalannya kekal adalah wajar dipercayai dan diiktiraf oleh rakyat Malaysia beragama Islam.

"Keputusan Jabatan Kimia menguatkan dan mengesahkan lagi kredibiliti pengesahan Jakim. Jabatan Kimia merupakan pihak yang tiada kepentingan dalam isu ini dan pihak yang lebih lama mempunyai reputasi dan kredibiliti di dalam hal ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jakim semalam mengesahkan dua sampel produk coklat keluaran Cadbury yang diambil terus daripada kilang syarikat itu dikesan tidak mengandungi DNA babi.

Mengulas lanjut, Maszlee menjelaskan, hasil kajian tersebut sewajarnya diterima dan dijadikan kata pemutus berhubung penemuan DNA babi di dalam dua jenis coklat Cadbury berkenaan.

Kedua-dua Jakim dan Jabatan Kimia, katanya, adalah ahl dhikr atau pihak yang mempunyai kuasa di dalam bidang mereka yang wajar dijadikan rujukan oleh rakyat Malaysia beragama Islam di dalam isu halal dan haram. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment