My Add

Thursday 5 June 2014

Warga emas maut dirempuh treler

BUKIT MERTAJAM, RABU 04 Jun, 2014: Seorang pengusaha kedai makan maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler membawa muatan konkrit di Jalan Permatang Rawa, Bandar Perda di sini hari ini.

Dalam nahas kira-kira pukul 7.15 pagi itu, mangsa, Zakaria Mat Nayan, 76, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, tulang rusuk dan kaki.

Anak mangsa, Fatimah Zakaria, 44, berkata, beliau terkejut selepas dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa bapanya dan bergegas ke Hospital Bukit Mertajam.

“Pada tahun lepas, bapa saya pernah terlibat dengan kemalangan di tempat yang sama tetapi cuma mengalami kecederaan pada tulang rusuk sahaja.

“Kali terakhir saya bertemu bapa adalah kelmarin, dan ketika itu dia menunjukkan perubahan dengan menjadi pendiam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Fatimah berkata, sudah menjadi rutin bapanya akan ke pasar selepas solat subuh untuk membeli barang kelengkapan termasuk bagi kegunaan kedai makannya.

Katanya, jenazah bapanya dituntut selepas bedah siasat di hospital itu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah selepas solat asar.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Suprintenden Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment