My Add

Friday 13 June 2014

Warga Pakistan mati dijerut

Oleh AZRAI MOHAMMAD

 * ANGGOTA polis mengangkat mayat warga Pakistan yang ditemui mati dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Pangsapuri Bayu, Jalan Bukit Serdang, Seri Kembangan, Kuala Lumpur, malam semalam. - UTUSAN/Abdul Razak Latif
KUALA LUMPUR, KHAMIS 12 Jun, 2014: Seorang lelaki warga Pakistan ditemui mati dalam keadaan mukanya dijerut dengan baju yang dipakainya setelah dipercayai terlibat dalam pergaduhan di rumah mangsa di Pangsapuri Bayu, Jalan Bukit Serdang, Seri Kembangan dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mayat mangsa yang dikenali sebagai Rizwan Tariq berusia 30-an ditemui dalam keadaan terlentang di dalam sebuah bilik oleh teman wanitanya yang berkunjung ke rumah tersebut.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razimi Ahmad berkata, sebelum itu, jiran-jiran ada mendengar bunyi jeritan seperti orang sedang bergaduh dari rumah mangsa kira-kira pukul 5.30 petang.

"Siasatan awal melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi berjaya mengesan beberapa individu berusia lingkungan 20-an yang dipercayai terlibat dalam kes ini.

"Bagaimanapun kita masih lagi menyiasat perkara tersebut dan percaya kejadian ini berkemungkinan disebabkan oleh perselisihan faham berkaitan perniagaan," katanya ketika di temui di lokasi kejadian di sini malam tadi.

Razimi berkata, ketika ditemui, keadaan di dalam rumah tersebut bersepah dipercayai akibat berlaku pergelutan dan mayat mangsa pula mempunyai kecederaan di mulut berkemungkinan akibat dipukul.

Beliau berkata, pihaknya turut percaya suspek merupakan orang yang dikenali mangsa berdasarkan tiada kesan pecah rumah dan kejadian ini bukan bermotifkan samun kerana tiada barangan berharga milik mangsa yang hilang.

"Polis juga tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian," ujarnya.

Beliau berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan menjual sarung tangan penunggang motosikal tinggal bersendirian di rumah tersebut dan dipercayai mati kurang daripada enam jam sebelum mayatnya ditemui.

Beliau berkata, polis ketika ini juga sedang mengesan teman wanita mangsa yang menghilangkan diri selepas kejadian itu bagi membantu siasatan.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment