My Add

Tuesday 10 June 2014

Warga pendidik Kemas teruja pengorbanan dihargai

 * MOHD Shafie Apdal (tengah), Rahim Abu Bakar (dua dari kiri), Ahmad Zubir Abd Ghani (empat dari kanan) dan Hassan Mohd Amin (lima dari kanan) bergambar dengan para penerima Anugerah Perkhidmatan Setia pada Majlis Sambutan Hari Pendidik Kemas 2014 di Alor Gajah, Melaka, semalam.
ALOR GAJAH, ISNIN 09 Jun, 2014: Tiada ungkapan yang mampu diluahkan oleh warga pendidik Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) apabila mereka mendapat pengiktirafan menerusi sambutan Hari Pendidik Kemas 2014 peringkat kebangsaan yang pertama kali diadakan tahun ini.

Rata-rata guru di Tabika Kemas telah berkhidmat 20 tahun hingga 39 tahun melahirkan rasa gembira apabila tugas yang digalas mereka berpuluh tahun lamanya diiktiraf oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Bagi mereka sepanjang menjadi guru kepada anak-anak kampung, jasa dan keringat mereka sama seperti guru-guru yang berkhidmat dengan Kementerian Pendidikan.

Namun bagi mereka, tanggal 9 Jun 2014 menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan setelah berkhidmat dan mencurah tenaga sebagai warga pendidik, mereka diraikan pada satu majlis yang cukup bermakna di Kem Permata Resort, Air Pa'abas dekat sini hari ini.

Seramai 16 warga pendidik Tabika Kemas dari seluruh negara menerima Anugerah Perkhidmatan Setia (APS) yang telah disampaikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Seorang warga pendidik Tabika Kemas, Hasmah Ali, 59, berasal dari Negeri Sembilan berkata, beliau begitu gembira mendapat pengiktirafan selepas berkhidmat selama 35 tahun.

"Terima kasih kepada pihak kementerian menganugerahkan saya serta rakan lain dan inilah kali pertama saya rasa dihargai setelah mencurah bakti begitu lama sebagai guru Tabika," katanya ketika ditemui selepas itu.

Bagi Rohani Saat, 59, berasal dari Selangor pula berkata, sambutan Hari Pendidik Kemas yang dianjurkan membuktikan usahanya berbakti sebagai guru Tabika tidak sia-sia.

"Walaupun sambutan Hari Guru saya rasa seperti terpinggir tetapi usaha kementerian menganjurkan sambutan ini dan penyampaian anugerah cukup menggembirakan saya," katanya.

Ini adalah anugerah kedua diterimanya tahun ini apabila pada 25 Mei lalu, beliau mendapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC).

Sementara bagi seorang warga pendidik dari Terengganu, Shamsiah Ismail, 47, berkata, beliau mengharapkan sambutan itu diadakan setiap tahun.

Menurutnya, ini kerana sambutan yang julung-julung kali diadakan di peringkat kebangsaan sekurang-kurangnya dapat menghargai jasa guru-guru Tabika lain.

"Kami warga pendidik anak-anak kampung tetapi apa pun peranan kami amat besar dalam melahirkan anak bangsa yang berguna," ujarnya yang telah berkhidmat selama 23 tahun.

Bagi Aini Rashid, 60, berasal dari Kuala Lumpur pula berkata, beliau benar-benar teruja dengan anugerah yang diterimanya.

"Saya sangat gembira kerana sudah hampir 35 tahun berkhidmat inilah pertama kali jasa dan pengorbanan saya dihargai apabila mendapat APS," katanya.

Justeru beliau berharap sambutan khusus kepada warga pendidik Kemas wajar diadakan setiap tahun dan disambut besar-besaran. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment