My Add

Thursday 5 June 2014

YTL jangan bersikap angkuh

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR, RABU 04 Jun, 2014: YTL Corp. Bhd. (YTL) diingatkan supaya tidak bersikap angkuh, dan tamak sehingga melupakan budi kerajaan yang memberikan syarikat itu perniagaan dan kemewahan terutama menerusi projek-projek di bawah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Presiden Kesatuan Pegawai-Pegawai Rendah Tenaga Nasional Berhad (KPPRTNB), Mohd. Roszeli Majid berkata, YTL sepatutnya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang bongkak seolah-olah tiada langsung peranan kerajaan dalam membantu mereka memperoleh projek-projek berskala besar.

Beliau berkata, tindakan Pengarah Urusan Kumpulan YTL, Tan Sri Dr. Francis Yeoh yang memberitahu bahawa projek-projek mereka banyak di luar negara kerana negara terbabit tegas terhadap rasuah serta tidak mengamalkan meritokrasi, seolah-olah Malaysia bukanlah lokasi yang baik untuk menjalankan perniagaan.

Selain itu, katanya, penafian Francis terhadap kebanyakan projek tenaga yang diperoleh adalah melalui kroni orang atasan juga perlu diselidik.

“YTL tidak harus mengeluarkan kenyataan seperti itu, seolah-olah mereka sangat angkuh dengan apa yang mereka ada hari ini hingga lupa pada jasa kerajaan selama ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Francis dalam majlis Bual Bicara Global Siri Malaysia kali ketujuh semalam yang dilaporkan berkata, tidak wujud sebarang isu kroni dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu memegang jawatan sebagai Perdana Menteri) sehingga membolehkannya hidup mewah dengan memperoleh projek-projek TNB sedangkan hakikatnya peranan itu dimainkan syarikatnya yang ternyata lebih inovatif dalam melaksanakan sebarang projek yang diberi oleh kerajaan.

Francis juga dalam majlis tersebut menyuarakan supaya Malaysia perlu bebas daripada halangan-halangan seperti kapitalisme kroni dan isu perkauman atau retorik agama jika mahu terus bersaing dan masyhur di peringkat global.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Roszeli yang juga Timbalan Setiausaha Agung Kesatuan Syarikat Milik Kerajaan (GLC) meminta kerajaan mengkaji semula tawaran kerjasama perniagaan untuk projek pembinaan loji janakuasa turbin gas kitaran gabungan 1,000 sehingga 1,400 MegaWatt (MW) atau Projek 4A antara TNB, SIPP Energy Sdn. Bhd. dan YTL.

Beliau berkata, adalah lebih baik kontrak tersebut diberi kepada usahasama TNB dan kerajaan-kerajaan negeri kerana ini akan mengembalikan kawalan rakyat dan kerajaan terhadap industri bekalan elektrik negara.

“TNB menjadi ‘mangsa buli’ sejak 1993 iaitu selepas kontrak pertama penjana tenaga bebas (IPP). Kini 'mangsa buli' itu sudah berusia 21 tahun dan tidak akan terus membiarkan dirinya terus dibelasah. Kami akan bangkit mempertahan TNB dengan apa cara sekali pun," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment