Pemandu Singapura ditahan cuba sogok anggota trafik
Oleh FARIK SALLEH
KOTA TINGGI, AHAD, 27 Oktober, 2013: Seorang pemandu warga Singapura ditahan kerana cuba merasuah anggota polis trafik yang menjalankan operasi had laju di Jalan Johor Bahru-Mersing berdekatan Hutan Lipur Panti dekat sini semalam.
Pemandu lelaki berusia lingkungan 30-an itu pada mulanya ditahan kerana memandu melebihi had laju dalam operasi bersepadu yang dijalankan oleh polis trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Polis Daerah, Supritendan Md. Nor Rasid berkata, lelaki itu kemudian ditahan setelah dia cuba memberi rasuah RM50 kepada anggota polis yang menahan kenderaan dipandunya.
"Dia ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat SPRM untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009," katanya ketika dihubungi hari ini. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment