My Add

Thursday, 3 October 2013

Peperiksaan hari pertama berjalan lancar

Oleh LILIS SURIANI OMAR
 
* PELAJAR Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Abang Openg mendengar taklimat daripada pengawas peperiksaan sebelum peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dimulakan di sekolah tersebut di Kuching, Sarawak, semalam. - UTUSAN/MOHAMAD GUSTIE NOORAMBIA
KUALA LUMPUR, RABU, 02 Oktober, 2013: Seramai 462,940 calon menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terakhir di 3,530 pusat peperiksaan di seluruh negara hari ini.

Peperiksaan itu akan berlangsung selama lima hari berakhir 9 Oktober ini.

Mengikut pecahan, seramai 430,146 adalah calon sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) manakala calon sekolah di bawah agensi kerajaan selain kementerian (6,024 orang), calon sekolah menengah agama negeri (9,906 orang) dan calon sekolah swasta (13,637 orang).

Sementara itu, calon persendirian 1,008 orang dan calon sekolah menengah agama rakyat 2,219 orang.

Di Negeri Sembilan, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Kalsom Khalid memberitahu, seramai 19,709 calon ditempatkan di 150 pusat peperiksaan melibatkan 17,809 pelajar sekolah bantuan penuh kerajaan, 689 calon dari SABK, 522 calon dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan 689 calon sekolah swasta.

Di Sabah, tiga calon tahanan juvenil adalah sebahagian daripada 39,936 orang calon yang menduduki peperiksaan PMR di 298 pusat peperiksaan di negeri itu.

Pengarah Pendidikan Sabah, Jame Alip berkata, daripada jumlah itu, 257 daripadanya adalah calon keperluan khas seperti buta, pekak dan rabun.

Di Melaka, calon paling ramai yang menduduki peperiksaan PMR di negeri berkenaan adalah dari daerah Melaka Tengah iaitu 8,199 orang diikuti Alor Gajah (3,586) dan Jasin (2,571).

Menurut jurucakap Jabatan Pelajaran negeri, kesemua calon yang terlibat berjumlah 14,356 orang dan ditempatkan di 106 buah pusat peperiksaan dengan lebih 700 petugas termasuk ketua pengawas dan pengawas peperiksaan.

Di Sarawak, Pengarah Pendidikannya, Abdillah Adam berkata, seramai 38,252 atau 96.64 peratus calon merupakan pelajar sekolah menengah kebangsaan (SMK) manakala selebihnya adalah calon pelajar sekolah swasta (1,303) dan calon perseorangan (29).

"Kesemua 3,9584 calon ini menduduki PMR di 274 pusat peperiksaan, iaitu 260 pusat SMK dan 14 pusat sekolah menengah swasta di seluruh Sarawak," katanya.

Di Kelantan pula, seramai sembilan calon negeri itu menduduki PMR di pusat peperiksaan sementara di beberapa buah hospital kerana sedang menjalani rawatan iaitu di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II), Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan selebihnya di hospital daerah.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, jumlah keseluruhan calon PMR adalah seramai 34,050 orang dengan 26,956 calon daripada sekolah bantuan penuh kerajaan manakala selebihnya adalah calon dari Yayasan Islam Kelantan (YIK) iaitu seramai 5,635 orang; SABK (855), MRSM (522) dan persendirian (82).

Di Pahang, seramai 673 calon daripada jumlah keseluruhan 25,644 pelajar yang menduduki PMR adalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Pengarah Pendidikan negeri, Rosdi Ismail berkata, kesemua calon di negeri itu ditempatkan di 240 pusat dan Kuantan merupakan daerah yang paling ramai calon menduduki peperiksaan tersebut iaitu 7,439 orang.

Di Kedah, enam calon terpaksa menduduki peperiksaan itu di hospital kerana masih mengalami simptom keracunan makanan selepas menghadiri kenduri kahwin di Kampung Huma, dekat sini Sabtu lalu.

Pengarah Pendidikan negeri, Mansor Latt berkata, seramai 37,945 calon yang menduduki PMR di negeri itu terdiri daripada 33,958 calon sekolah kerajaan, MRSM (848), Maktab Mahmud (1,057), swasta (324) dan sekolah agama rakyat (1,758).

Di Pulau Pinang, Pengarah Pelajarannya, Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin memberitahu, seramai 23,542 calon menduduki PMR di 1,520 pusat yang disediakan seluruh negeri.

Daripada jumlah berkenaan, tambah beliau, seramai 177 calon menduduki peperiksaan di hospital, 15 calon cacat manakala 115 lagi calon cacat berkeperluan khas (CBK).

Di Terengganu, seramai 22,497 calon PMR ditempatkan di 193 pusat peperiksaan di negeri itu yang terdiri daripada 21,520 calon sekolah bantuan penuh kerajaan dan kerajaan negeri manakala selebihnya calon MRSM.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Hashim Mohd Zin berkata, daripada jumlah itu seramai 10 calon menduduki peperiksaan tersebut di hospital termasuk tujuh di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), selain di Hospital Besut, Setiu dan Dungun. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment