PUNB lulus RM22.45 juta
Oleh FAZRINA AYU RADUIAN
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 September, 2013: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) meluluskan pembiayaan kewangan sebanyak RM22.45 juta kepada 56 syarikat dan peniagaan bumiputera sepanjang September tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, jumlah pembiayaan itu telah diluluskan sejak beliau mengambil alih jawatan berkenaan pada 26 Ogos lalu.
"Ini adalah untuk menyahut seruan Perdana Menteri dalam isu pemerkasaan ekonomi bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional.
"Kami di PUNB telah meletakkan kepentingan yang tinggi untuk mempercepatkan urusan kelulusan pembiayaan kepada usahawan bumiputera yang layak" katanya dalam kenyataan akhbar disini hari ini.
Tambahnya, langkah tersebut penting kerana usahawan bumiputera sudah tidak mempunyai masa yang banyak untuk meningkatkan persaingan supaya mereka mampu berada secara setara atau lebih tinggi dengan kaum-kaum lain dalam bidang perniagaan.
Dalam pada itu, Mohd. Ali berkata, untuk tahun 2013 sahaja, dari bulan Januari sehingga September 2013, sebanyak RM163 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 416 syarikat atau perniagaan bumiputera.
"Sehingga 31 Ogos 2013, PUNB telah meluluskan pembiayaan kewangan untuk skim-skim peruncitan, pemborong, pengusaha kecil dan sederhana (PKS), teras dan skim usahawan muda berjumlah RM1.73 bilion kepada 4,470 syarikat atau perniagaan yang disalurkan kepada seramai 6,400 usahawan bumiputera," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment