My Add

Thursday, 3 October 2013

Sedia ambil alih Halfest

KUALA LUMPUR , RABU,  02 Oktober, 2013- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedia mengambil alih Halal Fiesta Malaysia (Halfest) bagi menjadikan pameran itu sebagai program tetap di bawah kementerian itu.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, beliau sedia menimbangkan hasrat tersebut dan tidak mempunyai masalah untuk memasukkan Halfest sebagai program di bawah kementeriannya.

Beliau memberitahu, adalah menjadi tanggungjawab kementeriannya untuk terlibat sama dalam apa-apa program yang bertujuan meningkatkan keupayaan perniagaan kecil khususnya di desa.

"Ini tidak menjadi masalah, tetapi saya akan memperhalusi mengenainya supaya turut disertai kementerian lain seperti Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya pameran ini lebih meluas," kata menteri itu.

Beliau berkata demikian di sini hari ini selepas merasmikan Halfest 2013 yang berlangsung mulai hari ini hingga 6 Oktober bertempat di Pusat Pameran Mines (MIECC), Seri Kembangan, Selangor.

Turut hadir Ketua Pegawai EKsekutif CIMB Islamic, Badlisyah Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Halal Industry Development Corporation (HDC), Datuk Jamil Bidin; Timbalan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Hanisah Omar dan Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Sdn. Bhd. (Shapers Malaysia), Mohd. Shukri Abdullah.

Penganjuran Halfest yang sudah memasuki tahun ketiga merupakan pameran yang mengumpulkan pelbagai jenis perniagaan industri kecil halal dari serata Malaysia, terutamanya perniagaan berskala desa dan milik bumiputera.

Halfest selama ini dianjurkan secara korporat oleh Shapers Malaysia dengan sokongan agensi-agensi korporat.

Cadangan meletakkan Halfest di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diutarakan oleh Badlisyah. CIMB Islamic merupakan salah satu penaja utama Halfest 2013.

Sementara itu, Mohd. Shafie berkata, pihaknya melihat penganjuran Halfest di Lembah Klang lebih sesuai berbanding di negari-negeri lain, memandangkan kuasa beli pengguna serta tumpuan perniagaan yang lebih tinggi di sekitarnya.

Namun beliau tidak menolak untuk mengadakan pameran itu di negeri lain pada masa hadapan atau menimbangkan Halfest dianjurkan dua kali setahun.- UTUSAN 

No comments:

Post a Comment