Thursday, 3 November 2011

Bancian tunjukkan penghidap diabetes meningkat 3 juta orang

KHAMIS, 03 November, 2011:. Keputusan awal Survei Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2011 menunjukkan kira-kira tiga juta rakyat Malaysia kini menghidap diabetes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Hassan Abdul Rahman berkata, jumlah itu amat membimbangkan berbanding 1.5 juta ketika kali terakhir survei dijalankan pada 2006, lapor Bernama.

"Lebih membimbangkan kira-kira dua juta individu dewasa yang mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi, masih belum diperiksa doktor,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, survei juga menunjukkan masih ramai rakyat negara ini yang belum melakukan ujian saringan kesihatan secara tetap dan berkala.

Perlu diketahui bahawa majoriti individu dengan diabetes tidak mengalami sebarang gejala, kadang kala sehingga tujuh ke 10 tahun dari penyakit mula terjadi, katanya.

Justeru, Dr Hasan menyarankan semua rakyat yang berumur 30 tahun dan ke atas menjalani ujian saringan faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) setiap tahun. 

No comments:

Post a Comment