My Add

Thursday, 24 November 2011

Pendekatan pembangkang supaya rakyat benci BN: Muhyiddin

MUHYIDDIN bertanyakan sesuatu kepada Lee Hoi Ran, 59, yang mendukung cucunya Low Tian Hee, 65, (kiri) sewaktu mengadakan tinjauan mesra di Pekan Sungai Lalang, Sungai Petani, hari ini. - Foto Shahrizal Md Noor

PADANG SERAI, KHAMIS, 24 November, 2011:
Pendekatan pembangkang mencetuskan keadaan tidak puas hati rakyat dalam beberapa perkara bertujuan agar mereka membenci dan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. 

Timbalan Perdana Menteri berkata pakatan pembangkang turut mengaitkan isu raja-raja, pengagihan zakat, bantuan kepada golongan miskin, banjir dan sebagainya untuk menyalahkan BN.

"Hal ini (memburukkan BN) tidak dapat dielakkan kerana niat mereka hanya untuk menumbangkan BN, tidak kiralah walaupun menimbulkan masalah kepada negara dan rakyat," katanya sewaktu berucap pada majlis Jamuan Petang 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri di padang awam Taman Mutiara, Kampung Sungai Kob di sini petang ini yang dihadiri lebih 10,000 orang.

Muhyiddin berkata bahawa selama 54 tahun sejak Merdeka, kecuali peristiwa 13 Mei 1969, rakyat hidup dalam aman dan damai dan mahukan keadaan itu berterusan. 


"Rakyat hendak hidup aman dan tidak mahu suasana tidak aman mengganggu kehidupan mereka, namun masih ada pihak berusaha membangkitkan masalah termasuk mengganggu-gugat keharmonian antara kaum. 

"Kita kena ambil iktibar daripada keadaan tidak aman, rusuhan dan rampasan kuasa di Asia Barat (agar tidak) merebak ke negara ini. Dalam hal ini BN telah terbukti mampu mentadbir dan mengurus negara dengan baik dan penuh bertanggungjawab," katanya. 

Beliau berkata rakyat perlu membuat keputusan bijaksana untuk memilih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang. 
Muhyiddin berkata terdapat tanda-tanda kesedaran rakyat Kedah untuk menerima kerajaan baru yang merupakan petanda baik buat BN menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti. 

"Perubahan itu dapat dilihat melalui 'gelombang merah' iaitu kebangkitan golongan rakyat yang mahukan pembangunan dan masa depan yang lebih terbela dan terjamin," katanya. 

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat turut memantau keupayaan semua kerajaan negeri termasuk yang dikuasai pembangkang dalam mentadbir dan membawa pembangunan. 

"Setelah lebih tiga tahun memerintah Kedah, kerajaan negeri yang diterajui Pas tidak mampu melaksana pembangunan. Malah untuk membina masjid, memberi bantuan kepada mangsa banjir, petani dan membina infrastruktur semuanya hasil sumbangan kerajaan pusat di bawah BN. 

"Pilihan raya tidak lama lagi...jangan tanya saya (bila)...wallahualam. Ujian itu tetap tiba dan rakyat kenalah pilih pihak yang bertanggungjawab dan dan mampu membawa pembangunan," katanya. 

Beliau berkata kerajaan Pas Kelantan tidak mampu menyelesaikan masalah air di negeri itu walaupun memberi pinjaman sebanyak RM600 juta. 

Pada majlis itu beliau mengumumkan kerajaan pusat meluluskan projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Paya Besar berharga RM8.6 juta selain RM1 juta untuk menambah bilik darjah SJK (C) Kun Ming, Padang Serai dan masjid Taman Mutiara berharga RM2 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment