Oleh NORAINI ABD. RAZAK dan NORLIZA ABD. RAHMAN
KOTA BHARU, SABTU, 28 Januari, 2012: Jawatankuasa Teknikal Hudud Kerajaan Pas Kelantan yang diumumkan penubuhannya Oktober tahun lalu, belum lagi dapat mengadakan mesyuarat kerana tidak menerima jawapan rasmi daripada beberapa pihak yang dilantik sebagai ahli seperti Ketua Polis Negeri dan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, terdapat laporan mereka tidak bersetuju namun pihaknya tidak menerima surat balasan rasmi dan masih mengharapkan kerjasama semua pihak.
Pada masa sama, katanya, kerajaan juga masih dalam proses akhir menentukan terma rujukan perbincangan yang akan menjadi fokus dalam mesyuarat sebelum ia dapat diadakan.
"Kita mengambil masa sebab perlu terlebih dahulu menyiapkan terma rujukan yang sedang diuruskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr. Mohamed Fadzli Hassan.
"Kita juga belum dapat jawapan rasmi daripada beberapa pihak sama ada menerima atau menolak, kita harap semua memberi kerjasama kerana tujuan kita adalah untuk berbincang bersama-sama.
"Tarikh untuk mesyuarat itu nanti akan ditentukan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob selaku Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya perkembangan terkini jawatankuasa teknikal itu selepas menyampaikan kuliah Jumaat di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini, semalam.
Mohd. Amar berkata, kerajaan dalam mesyuarat Exco, Rabu lalu memutuskan menambah dua lagi ahli jawatankuasa menjadikan jumlah keseluruhannya 22 orang daripada 20 yang dilantik sebelum ini. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment