My Add

Friday, 6 January 2012

Perkasa buat laporan polis terhadap Nik Aziz




Beberapa pertubuhan NGO berdemontrasi secara aman membantah perhimpunan bebaskan Anwar 901 di Pasir Mas, semalam.


KOTA BHARU, JUMAAT, 06 Januari, 2012: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kelantan membuat laporan polis terhadap Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semalam berhubung kenyataan beliau menghalalkan perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 Isnin ini.

Laporan itu dibuat Setiausaha Perkasa Kelantan, Sharif Mahmood di Balai Polis Kota Bharu pukul 3.30 petang ini meminta pihak polis menjalankan siasatan terhadap Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas.

"Laporan polis ini dibuat ekoran laporan berita siaran 7.45 malam tadi yang mengandungi kenyataan Nik Abdul Aziz bahawa perhimpunan 901 adalah halal, dan mempunyai maksud bahawa orang ramai boleh menyertai perhimpunan berkenaan.

"Beliau juga membuat kenyataan bahawa perhimpunan itu samalah seperti mengerjakan solat lima waktu, solat Jumaat dan solat hari raya," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan itu.

Sebuah stesen televisyen swasta semalam melaporkan kenyataan Nik Abdul Aziz yang menyifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah terhadap pertuduhan liwat yang dihadapinya.

Beliau dilaporkan berkata, bahawa Kempen Bebaskan Anwar 901 yang dirancang pembangkang pada 9 Januari depan sempena tarikh keputusan perbicaraan pemimpin tersebut sebagai halal.

Kenyataan Nik Abdul Aziz itu dibuat ketika rakyat di seluruh negara membuat laporan polis bagi membantah perhimpunan tersebut kerana ia boleh menjejaskan keamanan dan keselamatan negara.

"Berdasarkan laporan berita tersebut, saya percaya ia boleh mengelirukan orang ramai dan seolah-olah menyeru rakyat untuk tidak menghormati kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan negara serta menimbulkan huru-hara.

"Seorang Menteri Besar yang juga ketua pentadbiran negeri dengan jelas cuba memperlekehkan undang-undang negara. Polis hendaklah menggunakan kuasa yang ada dengan tegas tanpa berkompromi bagi menghalang hal itu daripada berlaku," kata Sharif. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment