Oleh SHOLINA OSMAN
KANGAR, ISNIN, 20 Februari, 2012: Lebih 20 buah rumah dan gerai makanan di kawasan Sena, Bintong dan Tambuan Tulang di Perlis mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 5 petang ketika hujan lebat namun setakat ini tiada kecederaan dilaporkan, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih menjalankan bancian kerosakan.
Seorang jurucakap JKM Perlis berkata, sehingga kini jabatan itu merekodkan lebih 20 buah rumah mengalami kerosakan terutama pada bahagian bumbung dan nilai kerugian belum diketahui.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Sena, Abdul Jamil Saad, berkata lebih lapan buah rumah dan gerai rosak dalam kawasan Sena.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia dan Sukan Perlis berkata, kejadian berlaku begitu pantas.
Seorang mangsa ribut, Rohaya Din, 33, memberitahu, ketika kejadian dia baru selesai menyediakan sajian makan malam.
Katanya, dia sempat berehat bersama suami, Rosli Kamaruddin, 37, dan dua anak iaitu Rossyafiqah, 10, dan Rossyamimi, 6, sebelum ribut melanda.
"Saya mendengar bunyi angin kuat memukul bumbung rumah," katanya ketika ditemui di rumah nya di Kampung Wang Belimbing, Bintong dekat sini hari ini.
Rohaya berkata, dia, suami dan anak sudah berada berdekatan pintu kerana bercadang untuk keluar jika berlaku perkara membahayakan.
"Angin yang melanda seterusnya lebih kuat bunyinya dan terus menerbangkan bumbung rumah," katanya.
Rohaya memberitahu, akibatnya ruang tamu yang juga menjadi tempat untuk mereka sekeluarga berehat, makan dan tidur basah ditimpa hujan.
"Anak saya juga tidak ke sekolah hari ini kerana buku dan beg sekolah basah," katanya.
Menurutnya, pegawai JKM Perlis melawat rumahnya malam tadi dan memberi bantuan makanan serta wang.
Pengarah JKM Perlis, Abdullah Ali pula memberitahu, sebanyak 22 kes rumah rosak akibat ribut yang melanda negeri ini selama dua hari berturut-turut.
Beliau memberitahu, kejadian ribut kelmarin melibatkan empat kes di Kampung Padang Petani dan enam kes di Taman Intan, Sena.
Katanya, pada kejadian petang semalam pula masing-masing melibatkan tiga kes di Kampung Belimbing Ulu, Bintong dan Kampung Sempering.
Tambahnya dua kes berlaku di Batu 1, Jalan Mata Ayer dan masing-masing satu kes di Batu 3 1/4 Jalan Santan, Taman Intan, Repoh, Kampung Repoh dan Kampung Hutan Buloh, Jejawi.
Beliau memberitahu, kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian bumbung. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment