Oleh AZMAN MD. NOOR
BALING, SELASA, 21 Februari, 2012: Sebanyak 52 keluarga terpaksa dipindahkan apabila rumah mereka dinaiki air setinggi satu meter dalam kejadian banjir di tujuh buah kampung di Kuala Ketil di sini sejak semalam.
Mangsa-mangsa ditempatkan di surau dan khemah di kampung masing-masing serta menumpang di rumah jiran atau saudara-mara sementara menunggu air kembali surut.
Mereka adalah lapan keluarga dari Kampung Machang Bubuk, Banggol Berangan (dua keluarga) dan Kampung Kejai (dua keluarga), Kampung Banggol Enggok (dua keluarga), Kampung Tok Sin (satu keluarga), Kampung Tawar (lapan keluarga) dan Ladang Pelam (29 keluarga).
Hujan berterusan selama lima jam menyebabkan air Sungai Seputih melimpah ke penempatan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran dengan tebing sungai pagi ini.
Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, Mohd. Khairul Azhar Abdullah ketika melawat kawasan terbabit berkata, barang makanan terpaksa dihantar kepada semua mangsa terbabit kerana bimbang air semakin naik dan mangsa-mangsa tiada bekalan makanan.
Beliau berkata, Pejabat Penyelaras Parlimen Baling melalui Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim telah menyediakan makanan yang secukupnya kepada mangsa banjir selain memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan sampai dengan segera.
“Saya telah melawat semua kawasan terbabit bagi memastikan mangsa selamat dan berpindah dengan segera sekiranya keadaan semakin teruk selain memastikan barang makanan mencukupi,” katanya.
Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengesahkan mangsa-mangsa masih di pusat penempatan itu kerana keadaan cuaca masih tidak mengizinkan mereka pulang ke rumah.
Seorang mangsa, Tamihah Ahmad, 45, berkata, hujan lebat kira-kira pukul 9 malam tadi berterusan sehingga pagi ini menyebabkan air Sungai Seputih naik begitu cepat dan melimpah ke rumahnya.
“Saya terjaga apabila air masuk ke rumah kira-kira pukul 6 pagi dan tidak sempat menyelamatkan barang-barang lalu mengejutkan anak-anak naik ke tingkat atas,” katanya.
Menurutnya, semua barangan elektrik termasuk peti ais, mesin basuh dan perabot rosak kerana tidak sempat diselamatkan.
Tamihah berkata, dua anaknya iaitu Umi Umairah Mohd. Yusuf, 11, dan Mohd. Lutfi, 9, tidak dapat ke sekolah kerana pakaian dan buku basah selain tidak dapat keluar kerana air masih bertakung di dalam rumah.
“Mujur ada pihak yang cepat membantu dan menghulurkan bantuan termasuk bekalan makanan dalam keadaan amat memerlukan begini,” katanya.
Sehingga pukul 5 petang ini, lima keluarga di Kampung Pelam sudah pulang ke rumah berikutan air telah surut manakala mangsa-mangsa lain masih tidak boleh pulang ke rumah kerana keadaan belum mengizinkan. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment