Sunday, 25 March 2012

Polis tumpas sindiket pemalsuan kad kredit di Pulau Pinang

GEORGETOWN, AHAD, 25 Mac, 2012: Polis menumpaskan sindiket pemalsuan kad kredit membabitkan kerugian lebih RM1 juta selepas menahan lima lelaki dalam beberapa serbuan berasingan di lokasi sekitar pusat bandar raya ini, Jumaat lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, ACP Roslee Chik, berkata hasil daripada maklumat awam dan risikan selama enam bulan sepasukan polis dari bahagian operasi JSJK Ibu Pejabat Polis Kontinjen memberkas lelaki berusia 20 hingga 38 tahun yang dipercayai terbabit secara langsung dalam proses pemalsuan kad kredit.

"Antara barang yang dirampas dalam serbuan itu adalah 18 keping kad kredit pelbagai bank, kad sim telefon pelbagai jenis, enam buah telefon bimbit, mesin faks, lapan keping surat penyata kad kredit serta pelbagai dokumen berkaitan.

"Salah seorang daripada mereka adalah pegawai bank. Kesemua suspek ditahan reman hingga Rabu ini untuk membantu siasatan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Bagaimanapun polis masih memburu seorang lagi anggota sindiket iaitu Ooi Seang Hock, berusia 30-an bagi membantu siasatan. 

Roslee berkata, setakat ini polis menerima laporan daripada tiga bank dan enam orang awam berhubung kes itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment