Oleh HUSSAINI AMRAN
KUALA LUMPUR, AHAD, 27 Mei, 2012: Umat Islam di negara ini diminta agar jangan sesekali melantik pemimpin daripada kalangan agama lain untuk menerajui kerajaan.
Pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, hanya pemimpin beragama Islam yang mampu memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kekal dalam Perlembagaan.
Menurut beliau, pemimpin bukan Islam juga kurang memahami hal ehwal agama Islam yang menjadi anutan majoriti rakyat di negara ini.
‘‘Sebaik-baiknya kita lantik seorang pemimpin Islam yang kuat berpegang kepada ajaran agama dan menjadikan Islam sebagai cara hidup.
‘‘Individu yang sedemikian lebih telus dan ikhlas dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang pemimpin," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya bahawa umat Islam yang menyokong usaha untuk memastikan seorang bukan Melayu yang tidak beragama Islam menyandang jawatan Perdana Menteri di negara ini seharusnya menyemak kembali pegangan Islam masing-masing.
Juanda membuat kenyataan itu ekoran terdapat kecenderungan pada segelintir umat Islam yang menyokong usaha pihak tertentu yang mahukan Perdana Menteri dalam kalangan bukan Melayu.
Baru-baru ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh menegaskan beliau akan terus berjuang bagi memastikan seorang bukan Melayu menyandang jawatan Perdana Menteri.
Tambah Md. Daud, sikap segelintir umat Islam yang sanggup menerima pemimpin bukan Islam atas nama politik adalah amat dikesali.
‘‘Mereka sepatutnya menghayati pesanan sahabat Nabi Muhammad SAW, Umar Al-Khattab yang menyatakan umat Islam dimuliakan oleh Allah SWT hanya kerana kita beragama dan hanya kerana kita Islam," ujarnya.
Jelas beliau, Umar turut mengingatkan bahawa Allah SWT akan mendatangkan kehinaan dan kebinasaan kepada umat Islam sekiranya mereka mencari kemuliaan bukan kerana agama. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment