Tuesday, 26 June 2012

Masyarakat Siam ucap terima kasih kepada kerajaan

SUNGAI PETANI, ISNIN, 25 Jun, 20122: Masyarakat Siam di negara ini melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana telah menunaikan janji dengan mengarahkan semua jabatan kerajaan memberi layanan dan keistimewaan sebagai bumiputera kepada kaum itu.

Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong berkata, pihaknya juga merakamkan terima kasih kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang membantu menjelaskan kedudukan kaum itu dan layak menerima semua hak yang dinikmati orang Melayu dan bumiputera lain.

"Kita yakin dengan pengumuman arahan dan nota Kabinet baru-baru ini akan menamatkan isu ketirisan yang membelenggu masyarakat Siam selama ini.

"Dengan jaminan tersebut, diharap masyarakat Siam selepas ini tidak lagi dinafikan hak yang sepatutnya diterima oleh golongan bumiputera," katanya kepada Utusan Malaysiadi sini hari ini.

Boon Som berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohamed Nazri kelmarin yang mengarahkan semua jabatan yang berurusan dengan rakyat memberikan layanan dan keistimewaan bumiputera kepada masyarakat Siam di negara ini.

Menurut Boon Som, perkara tersebut telah diperjelaskan secara mendalam dalam pertemuan beliau dengan Najib di Putrajaya pada 12 Jun lalu.

"Dalam pertemuan itu, saya telah memberitahu Perdana Menteri tentang kekangan dan masalah yang dihadapi apabila berurusan dengan jabatan kerajaan meskipun Perdana Menteri sendiri sebelum ini membuat pengumuman bahawa masyarakat Siam adalah bumiputera," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment