Wednesday, 27 June 2012

Peranan Tony Fernandes dipersoal

KUALA LUMPUR, SELASA, 26 Jun -==, 2012: Peranan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Bhd. (AirAsia), Tan Sri Tony Fernandes sebagai salah seorang ahli Panel Penilai Bebas Kajian Semula Sistem Pendidikan Negara dipersoalkan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak), keahlian Tony dalam panel itu perlu dilucutkan kerana ahli perniagaan berkenaan tidak menunjukkan contoh jati diri yang baik kepada negara.

Kata beliau, tindakan Tony yang tidak mahu memindahkan operasi AirAsia ke KLIA2, sebaliknya merancang membuka operasi baru di Indonesia merupakan satu ugutan terhadap kerajaan dan angkuh.

"Kebelakangan ini (Tony) angkuh, rakus dan tidak bertanggungjawab jadi adakah sesuai sebagai panel untuk membantu kita melakukan transformasi pendidikan.

"Jangan lupa, kita bukan setakat hendak mengajar ilmu dan kemahiran tetapi juga nak didik anak bangsa mempunyai jati diri dan cintakan negara, bantu negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian membahaskan Rang Undang-Undang Akta Perbekalan Tambahan 2012 Peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Pelajaran pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, pemilihan individu dengan pelbagai latar belakang seperti tokoh akademik, agama, korporat termasuk tokoh luar negara dalam panel itu perlu bagi menilai pendapat yang dikemukakan.

"Saya terpaksa pisahkan operasi dan perniagaan seseorang dengan peranan sebagai ahli bebas dan saya tak ingin komen perkara itu kerana saya fokus untuk jawab soalan khusus," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment